BEIJING, 24 Ogos (Bernama-CMG) -- Naib Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Yasmine Fouad memuji pencapaian China dalam menangani masalah hakisan tanah, khususnya usaha berterusan bagi memperkukuh pemuliharaan dan penghijauan kawasan gurun.
"Negara China boleh dijadikan contoh dalam usaha memulihkan tanah yang terhakis secara besar-besaran," kata beliau.
Fouad, yang juga Setiausaha Eksekutif Sekretariat Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Memerangi Penggurunan (UNCCD), berkata demikian dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di Beijing pada Julai.
Beliau berpendapat China menunjukkan komitmen yang kukuh dan berterusan untuk jangka masa yang Panjang, selain melaksanakan perancangan yang berpandangan jauh.
"Program Hutan Benteng Perlindungan Tiga-Utara (kawasan bahagian utara China dari tiga arah) dilaksanakan secara cekap pada skala yang sangat besar.
"Saya menyokong konsep 'gunung hijau dan air jernih bagaikan gunung emas dan perak' yang diketengahkan Presiden Xi Jinping, dan mengiktiraf keupayaan China dalam mengaplikasikan teknologi pintar terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam menangani hakisan tanah," kata Fouad.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan China dalam usaha menangani masalah hakisan tanah di kawasan gurun menerusi penggunaan teknologi AI.
Naib Setiausaha Agung PBB itu berkata isu hakisan tanah boleh menyebabkan pemindahan penduduk, konflik dan masalah lain, justeru, usaha memulihkan tanah terhakis merupakan satu bentuk pelaburan dalam keamanan dan kestabilan.
Menurutnya, pelaburan sedemikian berbaloi kerana mampu membawa manfaat besar dalam jangka panjang.
"Melalui kerjasama Selatan-Selatan, China boleh berkongsi pengalaman dan teknologi tentang pengurusan kawasan gurun dengan negara lain, sambil menghulurkan bantuan dalam menangani masalah penggurunan.
"Saya juga menyeru agar kita meningkatkan kecekapan dalam penggunaan air, menjaga sumber air dan tanah, membina kesedaran ekologi yang betul, dan bekerjasama melindungi bumi milik kita bersama," kata beliau.
-- BERNAMA-CMG