KOTA BHARU, 22 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperluas agenda pemerkasaan asnaf dalam kalangan kanak-kanak berusia sifar hingga enam tahun yang mempunyai kelewatan atau keperluan perkembangan menerusi intervensi awal.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata usia berkenaan merupakan tempoh penting untuk perkembangan dalam aspek bahasa, komunikasi, emosi, kemahiran sosial, motor dan pembelajaran.
Beliau berkata ibu bapa tidak seharusnya menunggu sehingga anak memasuki alam persekolahan kerana pengesanan awal boleh mengenal pasti keperluan dan membolehkan bantuan bersesuaian dapat diberikan pada peringkat awal.
“Intervensi awal bukan bertujuan melabel atau menghukum anak dan ibu bapa, sebaliknya saringan awal membantu mengenal pasti kemungkinan keperluan perkembangan supaya tindakan bersesuaian dapat dilakukan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensi Awal Perkembangan Anak Berumur Sifar Hingga Enam Tahun di sini, hari ini.
Tengku Mohamad Rizam berkata pendekatan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada autisme atau Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD), malah merangkumi ketidakupayaan intelektual, kelewatan perkembangan dan isu perkembangan awal yang lain.
“MAIK bersama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya USM-MAIK berperanan menghubungkan keluarga dengan jaringan kepakaran, saringan, rujukan dan sokongan yang diperlukan secara berterusan.
“Program perintis yang pertama seumpamanya di Kelantan ini diharap menjadi penanda aras kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif intervensi awal di seluruh negeri, khususnya bagi keluarga asnaf,” katanya.
-- BERNAMA