KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pengiktirafan terhadap wira tidak didendang semakin penting ketika masyarakat melangkah ke era teknologi canggih, termasuk kecerdasan super buatan (super artificial intelligence), kata Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.
Beliau berkata kisah 23 penerima Anugerah Unsung Hero MINNALfm diharap dapat mencetuskan lebih banyak gerakan sukarelawan dan kegiatan kemasyarakatan dalam kalangan generasi muda.
Katanya enerima daripada pelbagai latar belakang itu berkongsi nilai yang sama, iaitu keikhlasan membantu dan menyumbang kepada komuniti tanpa mengejar publisiti atau mengharapkan balasan.
“Semakin kita bergantung pada teknologi, semakin penting untuk kita memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh nilai kemanusiaan serta meningkatkan kualiti insan dan hasil kerja dalam kehidupan seharian.
“Kisah mereka membuktikan bahawa untuk memberi manfaat kepada orang lain, seseorang itu tidak semestinya mempunyai kedudukan tinggi atau kekayaan yang besar.
“Apa yang lebih penting ialah keikhlasan, keberanian untuk bertindak serta kesanggupan membantu mereka yang memerlukan. Nilai-nilai inilah yang mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MINNALfm 2026 - Unsung Hero di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Berhad merangkap pengasas bersama AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Pengurus MINNALfm Kumaran Subramaniam dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Ashwad berkata media, termasuk RTM perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu masyarakat serta memacu perkembangan industri.
Bertemakan “Menginspirasikan Komuniti, Mengiktiraf Wira, Mencipta Harapan”, majlis itu menghimpunkan tokoh masyarakat, rakan strategik dan komuniti bagi meraikan individu serta organisasi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Pada majlis itu, Tony turut menerima anugerah khas Global Malaysian Icon Leadership & Inspiration Award sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan pencapaiannya di peringkat global.
-- BERNAMA