PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Atlet tenpin boling Perlis, Zureen Alyssa Qaisara Azlisham mengetepikan kesakitan pada tangan kanan untuk meraih pingat emas Masters wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, di sini hari ini.
Pemain berusia 16 tahun itu bangkit daripada kekalahan pada permainan pertama untuk menewaskan atlet Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie 2-1 menerusi keputusan 160-223, 246-215 dan 211-194 pada aksi final.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Zureen Alyssa apabila ia merupakan emas dan pingat sulungnya pada SUKMA kali ini selepas gagal menaiki podium dalam acara individu, beregu dan berpasukan sebelum ini.
“Saya sangat terharu kerana ini emas dan pingat pertama saya di SUKMA. Saya mencuba dari acara individu, beregu hingga berpasukan tetapi belum memperoleh pingat, namun hari ini saya berjaya bangkit dari bawah hingga ke atas.
“Sebelum SUKMA, tangan kanan saya mengalami kecederaan akibat penggunaan berlebihan dan masih terasa sakit ketika bermain. Saya hanya cuba melupakannya, fokus satu demi satu perlawanan dan melakukan yang terbaik,” katanya yang membuat penampilan pertama pada temasya itu.
Zureen Alyssa yang akan mengalihkan tumpuan kepada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selepas ini turut mendedikasikan kemenangan berkenaan kepada barisan jurulatih Perlis yang banyak membimbing dan menyokongnya.
Sementara itu, atlet Sarawak, Ethan Damien Goh Chean Ming meraih emas Masters lelaki selepas mengatasi rakan sepasukan, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan 2-0 menerusi keputusan 247-209 dan 245-210.
Kemenangan itu merupakan emas kedua Ethan pada edisi kali ini selepas membantu Sarawak menjuarai acara berpasukan lelaki semalam, sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang sekadar meraih gangsa dalam acara berpasukan pada SUKMA Sarawak 2024.
Ethan berkata tekanan tetap dirasai biarpun berdepan rakan sepasukan kerana masing-masing mahu muncul juara, selain turut berjuang membantu Sarawak dalam perebutan gelaran juara keseluruhan tenpin boling.
“Ini kali pertama saya beraksi dalam acara Masters dan juga emas Masters pertama saya. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan sekiranya kalah sekalipun, sekurang-kurangnya saya telah memberikan tentangan,” kata atlet berusia 16 tahun itu.
Saingan tenpin boling SUKMA 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengumpul empat emas, satu perak dan dua gangsa, diikuti Sarawak dengan tiga emas, dua perak dan satu gangsa, manakala Perlis di tempat ketiga dengan dua emas dan satu gangsa.
-- BERNAMA