Am 22/08/2026 08:39 PM

Seorang Lelaki Melecur, Restoran Hotel Musnah Terbakar Di Semporna

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Seorang Lelaki Melecur, Restoran Hotel Musnah Terbakar Di Semporna
Foto: JBPM Sabah

SEMPORNA, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki melecur di bahagian lengan dalam kebakaran yang melibatkan sebuah restoran di sebuah hotel di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Zainal Sinsian berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.47 tengah hari sebelum tiba di lokasi pada 12.52 tengah hari.

"Sewaktu tiba di lokasi, sebuah restoran terbakar dan musnah sepenuhnya, manakala bangunan hotel turut 20 peratus terbakar akibat bahang api. Pasukan yang menjalankan operasi pemadaman terdiri 29 anggota termasuk 10 anggota Bomba Air Semporna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan melecur itu dibawa ke Hospital Semporna oleh pihak pengurusan hotel.

Zainal berkata operasi pemadaman dilakukan dari dua arah, iaitu melalui darat dan laut bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh kira-kira sejam sebelum operasi ditamatkan pada 4.11 petang dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, katanya.

-- BERNAMA