KOTA TINGGI, 22 Ogos (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi menyembah maklum mengenai isu pentadbiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata sesi menghadap itu bertujuan memberikan gambaran lebih jelas mengenai isu berbangkit, termasuk teguran baginda berkaitan kepimpinan Kementerian Pertahanan dan pasukan Rejimen Gerak Khas (RGK).
"Saya percaya kenyataan dan titah itu perlu kita berikan gambaran yang jelas.
“Memang dalam masa terdekat akan ada ruang untuk mengadap dan mungkin kita boleh sama-sama perbaiki keadaan tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Pada Khamis lepas, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar semua pihak yang terlibat dalam merancang pembangunan RGK supaya tidak mengubah keputusan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim demi kepentingan pihak tertentu.
Ketika bertitah pada Majlis Perbarisan bersempena dengan Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Mersing itu, baginda turut menzahirkan teguran berhubung isu pengurusan di Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM.
-- BERNAMA