Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 22 Ogos (Bernama) – Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif menggesa supaya hubungan dengan Malaysia diperkukuh, dengan tumpuan yang lebih besar diberikan kepada bidang perdagangan, pelaburan dan jalinan kebudayaan.
Pemimpin tertinggi negara itu menerima kunjungan hormat Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa lawatan beliau ke Islamabad.
“Menyambut ketibaan menteri Malaysia dan delegasinya, Presiden berkata Pakistan memberi keutamaan tinggi kepada hubungan akrab dan persaudaraan dengan Malaysia yang bertunjangkan agama, budaya, saling menghormati antara satu sama lain serta jalinan rakyat dengan rakyat yang kukuh,” menurut kenyataan Kerajaan Pakistan pada Sabtu.
Zardari turut menggesa kerjasama Pakistan-Malaysia diperkukuh lagi dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, pembanterasan keganasan, kawalan narkotik serta menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Isu-isu berkaitan peningkatan perdagangan dua hala turut dibincangkan dalam pertemuan di kediaman rasmi presiden, Aiwan-e-Sadr.
Zardari berkata Pakistan berhasrat untuk meneroka akses yang lebih luas bagi produk keluarannya seperti beras, kentang, gandum dan hasil ternakan di pasaran Malaysia.
Saifuddin memaklumkan kepada Presiden Pakistan bahawa kini terdapat 14 penerbangan seminggu yang menghubungkan Pakistan dan Malaysia, dan usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan berkenaan, menurut kenyataan itu.
Pada Jumaat, menteri Malaysia itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Shehbaz di Pejabat Perdana Menteri.
Shehbaz berkata kerajaannya komited untuk memperluas hubungan erat dan persaudaraan antara Pakistan dan Malaysia dalam pelbagai bidang, merangkumi keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta perniagaan, menurut kenyataan pejabatnya.
Saifuddin dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, turut menandatangani Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), antara Pakistan dan Malaysia pada Jumaat.
-- BERNAMA