KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pekarangan Kompleks Sogo di sini yang lazimnya meriah dengan persembahan pemuzik jalanan (buskers) malam ini bertukar suasana apabila alunan lagu patriotik bergema bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Menerusi Program Pentarama Merdeka@HoHo, orang ramai bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang, malah turut menyanyikan lagu patriotik bersama-sama bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) yang memasuki tahun ketiga itu terus menjadi platform dalam memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Pengarah Penerangan Erwin Khairul Ahmad berkata walaupun program kali ini diadakan dalam skala lebih sederhana, suasana tetap meriah dengan penglibatan orang ramai yang turut mengibarkan Jalur Gemilang.
"Malam ini kita lihat sambutan sangat meriah walaupun tidak ada promosi. Apabila kita datang dan buat kejutan dengan lagu-lagu seperti 'Aku Berjanji' nyanyian Faizal Tahir, iaitu lagu tema sambutan pada tahun ini, kita nampak orang ramai datang berhampiran dengan kita.
"Apabila kita mengagihkan Jalur Gemilang untuk dikibarkan bersama-sama, orang ramai turut mengambil bahagian," katanya kepada pemberita selepas Program Pentarama Merdeka@HoHo di Kompleks Sogo di sini malam ini.
Beliau berkata sambutan itu membuktikan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap negara, namun perasaan berkenaan perlu diterjemahkan melalui tindakan dan penyertaan dalam program berunsur patriotik.
"Jalur Gemilang adalah bukti rasa cinta kita kepada negara, jadi kita kena tunjukkan. Jangan simpan rasa cinta itu dalam hati sahaja, kita mesti tunjukkan bahawa Malaysia satu-satunya negara yang wajar kita sayangi," katanya.
Dalam pada itu, Erwin Khairul menasihati rakyat Malaysia yang masih belum mengibarkan Jalur Gemilang supaya berbuat demikian memandangkan sambutan Bulan Kebangsaan kini semakin menghampiri kemuncaknya.
Katanya, Program Pentarama Merdeka@HoHo seterusnya akan diadakan pada 12 Sept ini di beberapa lokasi ikonik, termasuk Dataran Merdeka dan Plaza Sungei Wang.
Program malam ini melibatkan tiga hentian utama iaitu Kompleks Sogo, KLCC dan Pavilion bagi mempromosikan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang menerusi inisiatif 'Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang'.
Beliau turut mengajak orang ramai memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya serta sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Dataran Merdeka.
-- BERNAMA