Am 22/08/2026 11:10 PM

Sarawak, Terengganu Curi Tumpuan Dengan Emas Dan Rekod Baharu SUKMA 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sarawak, Terengganu Curi Tumpuan Dengan Emas Dan Rekod Baharu SUKMA 2026
Pasukan pelumba Terengganu menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara akhir berbasikal trek pursuit berpasukan wanita menentang Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Velodrom Nasional.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini terus menyaksikan persaingan sengit apabila beberapa kontinjen mencipta kejayaan membanggakan, termasuk Sarawak yang menyapu bersih dua pingat emas acara terjun, manakala Terengganu mencipta rekod kebangsaan dalam berbasikal trek.

Di Pusat Akuatik Selangor di Shah Alam, Sarawak meraih dua emas menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita dan 10m platform lelaki.

Gandingan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin mempertahankan emas acara 3m papan anjal seirama wanita selepas mengumpul 221.01 mata.

Emas kedua Sarawak disumbangkan Elvis Priestly Clement dalam acara 10m platform lelaki selepas mengumpul 397.30 mata untuk mengatasi rakan sepasukannya, Jared Aiden Harold, yang meraih perak dengan 396.20 mata, manakala gangsa menjadi milik penerjun Sabah, Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah.

Kejayaan itu menyaksikan Elvis meraih emas ketiganya pada temasya kali ini selepas sebelum ini menjuarai acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama lelaki bersama Jared.

Prestasi konsisten itu menjadikan Elvis antara penerjun paling menyerlah bagi kontinjen Sarawak pada SUKMA kali ini.

Dalam berbasikal trek di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, kuartet wanita Terengganu pula menamatkan penantian lapan tahun untuk meraih emas acara kejar-mengejar berpasukan.

Gandingan Nur Aeirin Wadhiah Mohd Adni, Nur Aieris Madhiah Mohd Adni, Dahlia Hazwani Hasyim dan Ameera Alya Md Zahiruddin turut mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara berkenaan.

Kuartet Terengganu itu terlebih dahulu memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan empat minit 46.824 saat (s) pada peringkat kelayakan sebelum memperbaharuinya kepada 4:42.878s pada peringkat akhir.

Sarawak turut mencipta detik bersejarah dalam berbasikal trek apabila Adib Andhar Andan muncul juara acara keirin lelaki, sekali gus menghadiahkan emas sulung negeri itu dalam acara berkenaan sepanjang penyertaan Sarawak di SUKMA.

Sementara itu, persaingan kutipan pingat terus sengit dengan Selangor selaku tuan rumah kekal di kelompok teratas dengan 75 emas, 57 perak dan 51 gangsa.

Terengganu berada di tempat kedua dengan 37 emas, 38 perak dan 31 gangsa, manakala Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan 35 emas, 39 perak dan 36 gangsa.

-- BERNAMA