SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Perenang muda Selangor, Chong Yuan Yi membuktikan dirinya sebagai antara prospek untuk dipertimbangkan ke dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 selepas membantu negeri itu meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Yuan Yi, 17, terlebih dahulu memperbaharui rekod peribadinya untuk muncul juara acara 400 meter (m) gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 29.70 saat (s).
Perenang Sarawak, Kelly Yao meraih perak dengan catatan 4:33.52s, manakala pingat gangsa menjadi milik Tan Rui Nee dari Pulau Pinang yang merekodkan 4:34.06s.
Yuan Yi, yang membantu Selangor memenangi emas acara 4x100m gaya bebas wanita semalam, berkata kejayaan itu cukup bermakna, selain berharap dapat merebut tempat dalam skuad negara ke Sukan SEA tahun depan.
“Saya sangat gementar sebelum perlumbaan kerana meletakkan tekanan yang tinggi kepada diri sendiri sebagai pilihan utama dan pasukan mengharapkan saya membawa pulang emas,” katanya kepada pemberita di sini.
Bukan itu sahaja, Yuan Yi turut memainkan peranan penting ketika Selangor meraih emas acara 4x200m gaya bebas wanita bersama Shannon Tan, Eliza Tan dan Yoong Jia Jia dengan catatan 8:36.12s.
Catatan itu menyaksikan kuartet Selangor memecahkan rekod temasya 8:40.95s yang dilakukan pasukan Sarawak pada SUKMA Pahang 2012.
Pulau Pinang meraih perak dengan catatan 8:46.90s, manakala Sarawak membawa pulang gangsa selepas merekodkan 8:49.80s.
Mengulas sasaran jangka panjangnya, Yuan Yi berkata beliau menyimpan impian untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik, namun fokus terdekatnya adalah memburu tempat dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
“Untuk jangka panjang, sudah pasti saya mahu beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti. Tetapi untuk tahun depan, saya berharap dapat terpilih ke dalam pasukan Sukan SEA.
“Ia amat bermakna bagi saya jika dapat memenangi pingat untuk Malaysia di laman sendiri,” katanya.
-- bernama