Am 22/08/2026 05:41 PM

PM Anwar Sampaikan Sumbangan Sempena Hari Usahawan Cilik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Sampaikan Sumbangan Sempena Hari Usahawan Cilik
kredit: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Hari Usahawan Cilik yang diadakan di sebuah taska di Subang Jaya, Selangor hari ini memberi pengalaman bermakna dan menyemai minat berniaga dalam kalangan anak-anak sejak kecil.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata seorang anak dari Taska As Sakeenah menghantar mesej mengundang beliau ke program Hari Usahawan Cilik itu.

“Memang teringin nak hadir beri sokongan, tapi saya di Brunei Darussalam mengetuai delegasi negara.

“Tidak mahu hampakan anak-anak, "Uncle Anwar" hantar pegawai, saudara Raimi Ab Rahim untuk mewakili bagi sampaikan sedikit sumbangan dan salam mesra kepada semua.

“Semoga Hari Usahawan Cilik ini memberi pengalaman bermakna dan menyemai minat berniaga dalam kalangan anak-anak sejak kecil. Kalau dapat untung, jangan lupa menabung,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mendoakan semua anak-anak membesar menjadi insan yang rajin berusaha, sentiasa membantu keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Anwar tiba di Bandar Seri Begawan semalam untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.

  -- BERNAMA