KANGAR, 22 Ogos (Bernama) -- Paras air Empangan Timah Tasoh di sini hari ini menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat bacaan 26.50 meter (m).
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Amir Budiman Abdullah berkata keadaan itu lebih baik berbanding bulan lepas kerana 26.50m adalah had minimum keluar daripada tahap ktirikal.
Beliau berkata sejak bermula bulan Ogos paras air di empangan itu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan lebat di beberapa kawasan tadahan.
"Walaupun begitu, keadaan ini belum tentu kekal kerana ramalan cuaca kering, iaitu Super El Nino bakal berlaku pada November ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama hari ini.
Sehubungan dengan itu, Amir Budiman berkata melalui kerajaan negeri, operasi pembenihan awan perlu diteruskan sebagai usaha mitigasi menangani isu kekurangan sumber air di empangan.
-- BERNAMA