KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Pakistan dalam serbuan ke atas pusat panggilan penipuan di Islamabad baru-baru ini, telah dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata JSJK akan merakam keterangan lelaki berusia 32 tahun itu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Beliau juga mengesahkan lelaki tersebut merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi khas itu.
"Dia telah dibebaskan dan sudah balik ke Malaysia," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan sepasukan pegawai telah dihantar ke Pakistan bagi membantu siasatan berhubung penahanan rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam serbuan ke atas pusat panggilan penipuan di negara itu.
Lelaki berkenaan antara 258 warga asing yang ditahan pihak berkuasa Pakistan semasa serbuan tersebut.
-- BERNAMA