Am 22/08/2026 04:21 PM

Polis Tingkat Rondaan Susulan Kes Rompakan Kedai Emas Di Pahang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Tingkat Rondaan Susulan Kes Rompakan Kedai Emas Di Pahang

KUANTAN, 22 Ogos (Bernama) -- Polis meningkatkan kekerapan rondaan susulan dua kes rompakan kedai emas yang berlaku dalam minggu ini di Pahang. 

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata tumpuan diberikan di kedai menjual barang berharga berkenaan yang berada di kawasan rumah kedai, tepi jalan selain premis yang tidak mempunyai pengawal keselamatan. 

“Ketua Polis Daerah telah diarahkan supaya mengadakan rondaan di kawasan terbabit dengan lebih kerap sebagai langkah pencegahan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

 Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakan kedai emas yang mempunyai operasi lebih kecil, dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak berfungsi atau sekadar dummy yang dilihat menyukarkan pihak polis mendapatkan rakaman yang boleh membantu siasatan sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Semalam, sejumlah barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM500,000 dilarikan empat suspek bersenjatakan parang dan objek menyerupai senapang patah (pump gun) di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini. 

Sebelum ini, sebanyak 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing dari sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, Bentong pada 17 Ogos.

Sementara itu, Azry Akmar berkata siasatan awal mendapati dua kes rompakan berkenaan tidak mempunyai kaitan dan melibatkan suspek berbeza. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis masih lagi memburu mereka yang terlibat dalam kes terbabit,” katanya. 

-- BERNAMA