Am 21/08/2026 11:01 PM

Tengku Permaisuri Selangor Santuni Komuniti OKU Pada Tayangan Khas "Last Dive"

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tengku Permaisuri Selangor Santuni Komuniti OKU Pada Tayangan Khas
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan hadir pada Tayangan Khas Last Dive bersama Komuniti OKU Selangor di GSC Mall. Turut serta Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari (dua,kanan).

PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri tayangan khas filem Last Dive, bersama-sama komuniti orang kurang upaya (OKU) Selangor, di sini malam ini.

Baginda yang juga Penaung Diraja Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), menyaksikan filem berkenaan bersama dengan komuniti OKU, anak istimewa dan keluarga mereka.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor merangkap Pengerusi YANIS Anfaal Saari berkata tayangan khas itu, membawa tiga mesej utama, iaitu pemerkasaan golongan OKU, kelestarian alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi YANIS komited memperkasakan agenda OKU, serta menghapuskan stigma dan diskriminasi berasaskan ketidakupayaan terhadap golongan itu.

“Inisiatif ini merupakan serampang tiga mata yang amat kritikal. Kita mahu membuktikan bahawa dengan sokongan dasar, kemudahan dan teknologi, golongan OKU dapat kita rangkumkan bersama-sama dalam masyarakat, sama ada dalam kegiatan rekreasi, hiburan, kebudayaan dan sebagainya.

“Kita mahu menyingkirkan stigma terhadap golongan OKU,” katanya ketika sidang media tayangan tersebut.

Anfaal berkata Last Dive mengetengahkan pemerkasaan OKU menerusi aktiviti selam skuba yang menyediakan persekitaran graviti neutral, sekali gus membolehkan mereka meneroka keupayaan diri tanpa batasan mobiliti.

Beliau berkata penglibatan ikon dan bakat OKU sebenar dalam penerbitan filem itu, membuktikan bahawa ketidakupayaan fizikal bukan penghalang untuk mereka meneroka potensi diri.

“YANIS berharap karya ini, akan mencetuskan anjakan paradigma dalam masyarakat untuk terus berganding bahu mencipta persekitaran lebih inklusif, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata tayangan khas itu diadakan hasil cadangan Produksi Seni 2020, untuk mempertemukan komuniti OKU dan anak istimewa Selangor dengan karya yang mengangkat kisah serta potensi golongan berkenaan.

Filem arahan Datin Dr Wendy Wong yang juga merangkap penerbit eksekutif itu, mengangkat kisah Faiz, seorang bekas pemain bola sepak yang lumpuh akibat kemalangan, serta Amelia, seorang jurulatih selam skuba yang membantu golongan OKU meneroka dunia bawah laut.

Turut bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama ialah Datuk Nancie Foo.

-- BERNAMA