KOTA KINABALU, 22 Ogos (Bernama) -- Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasioal (TVET) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing yang mampu memenuhi keperluan industri minyak dan gas, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran memainkan peranan penting dengan menawarkan lebih banyak kursus dan program berkaitan industri berkenaan.
“Tahun ini, sejumlah RM39.24 juta telah diperuntukkan di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri bagi melaksanakan program pembangunan modal insan, dengan tumpuan kepada TVET serta beberapa program lain termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi dan teknologi digital serta minyak dan gas.
“TVET tidak boleh lagi dianggap sebagai pilihan alternatif, sebaliknya perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata aktiviti berkaitan minyak dan gas, pelancongan serta perdagangan merupakan antara pemacu penting ekonomi Sabah, sekali gus mencerminkan kepelbagaian peluang ekonomi yang terdapat di negeri itu.
“Pertumbuhan ekonomi Sabah disokong oleh beberapa sektor utama. Sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan 5.0 peratus, perlombongan dan kuari 4.9 peratus serta perkhidmatan 4.5 peratus,” katanya.
Hajiji berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pasaran buruh Sabah menunjukkan trend yang semakin baik dengan negeri itu mempunyai kira-kira 1.9 juta orang dalam tenaga kerja pada suku kedua 2026, iaitu terdiri daripada 1.23 juta orang yang bekerja manakala kira-kira 106,600 orang masih menganggur.
Beliau berkata usaha Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut berjaya menyediakan 71,821 penempatan pekerjaan di Sabah antara 2020 hingga 24 Julai tahun ini.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu rakyat Sabah mendapatkan pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi. Oleh itu, karnival kerjaya yang diadakan hari ini amat bertepatan dalam meningkatkan penyertaan golongan muda, khususnya dalam industri minyak dan gas negeri ini.
“Penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan di karnival ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat Sabah, khususnya pencari kerja di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA