PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama ) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan kepada tiga kluster utama iaitu memperkasakan perkhidmatan kesihatan rakyat, memperkukuh daya tahan negara, serta keadilan sosial dan pembangunan untuk semua bagi Belanjawan 2027.
KKM dalam hantaran di media sosial memaklumkan, perkara itu dibincangkan pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bagi kementerian itu, di sini hari ini.
“KKM turut menekankan bahawa setiap peruntukan perlu berorientasikan hasil dan impak, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.
“Setiap cadangan perlu jelas tentang masalah yang hendak diselesaikan, kumpulan penerima manfaat, perubahan yang ingin dicapai serta kaedah mengukur keberkesanannya,” menurut hantaran itu.
KKM dalam hantaran itu memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam ucapannya pada sesi libat urus itu, menegaskan dalam Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan sebagai instrumen untuk memperkukuh sistem kesihatan negara.
Beliau turut berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kepada KKM benar-benar memberi hasil dan impak kepada rakyat.
-- BERNAMA