KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia berjaya memperoleh hak penganjuran Kongres Antarabangsa Parasitologi (ICOPA) 2030, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak dari 18 hingga 23 Ogos, 2030.
Kongres antarabangsa itu yang dijangka menarik kira-kira 2,500 perwakilan daripada komuniti parasitologi global dan perubatan tropika, akan diadakan di Malaysia dan Asia Tenggara buat pertama kalinya.
Usaha membida hak penganjuran itu dimulakan oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) pada 2021 melalui kerjasama dengan Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM) serta Business Events Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Tan Mei Phing berkata kejayaan menganjurkan ICOPA 2030 merupakan pencapaian penting untuk Malaysia dan mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan negara untuk menganjurkan kongres saintifik utama bertaraf global.
“Kejayaan pada hari ini membuktikan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama kukuh antara persatuan kita, rakan kongsi destinasi dan industri acara perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata membawa ICOPA ke Malaysia dan Asia Tenggara bukan sahaja merupakan pencapaian penting untuk industri acara perniagaan, malah menjadi peluang untuk mencipta impak bermakna melalui pertukaran pengetahuan, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pembangunan profesional.
Diadakan sekali setiap empat tahun, ICOPA menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, pengamal dan pakar dari seluruh dunia untuk memajukan ilmu pengetahuan, memudahkan pertukaran saintifik serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang parasitologi dan perubatan tropika.
Menurut MyCEB, penganjuran kongres itu dijangka menyumbang kepada kedatangan pelawat antarabangsa dan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas untuk Kuching, Sarawak serta Malaysia.
Syarikat itu turut mengucapkan tahniah kepada MSPTM atas kejayaan berkenaan dan menghargai sumbangan Business Events Sarawak serta rakan kongsi dan pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam bidaan itu.
"Kejayaan ini mencerminkan kerjasama yang kuat dalam mendapatkan acara-acara perniagaan antarabangsa bernilai tinggi ke Malaysia dan seterusnya meningkatkan imej negara di persada global," tambah syarikat itu.
MyCEB turut menekankan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan MSPTM, Business Events Sarawak dan rakan kongsi industri berkaitan bagi memastikan ICOPA 2030 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
-- BERNAMA