ISKANDAR PUTERI, 21 Ogos (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan keunggulan apabila mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-0 pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.
Lebih manis, skuad kendalian Xisco Munoz itu turut mencipta rekod dunia baharu dengan mencatatkan 109 perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut sejak 2021, sekali gus mengatasi rekod 108 perlawanan tanpa kalah yang sebelum ini dipegang kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas, dari 1989 hingga 1994.
Kemenangan dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2026-2027 itu turut menghadiahkan tiga mata buat JDT, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan.
Marcos Guilherme, Oscar Arribas dan Shahab Zahedi masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT.
Pada babak awal, JDT tampil lebih garang dengan menguasai rentak permainan serta bertali arus mengasak kubu Kuching City menerusi beberapa sepakan penjuru dan percubaan berbahaya di hadapan gawang.
Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli, berjaya menafikan beberapa ancaman daripada skuad tuan rumah.
Tekanan berterusan Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11 apabila Guilherme menyudahkan hantaran Bergson da Silva untuk membuka tirai jaringan dan meletakkan JDT di depan.
Bersambung pada babak kedua, KCFC yang jarang mencipta gerakan berbahaya cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerangnya Gabriel Nistelrooy, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
JDT kemudian terus menggandakan tekanan dan berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-55 apabila Arribas meledak menerusi rembatan kencang yang tepat menerjah gawang skuad The Cats, sekali gus gagal diselamatkan Muhammad Haziq.
JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-80 menerusi Oscar, namun rembatan pemain berkenaan tersasar sedikit daripada sasaran.
Skuad Harimau Selatan terus menghukum kelekaan KCFC apabila menambah jaringan ketiga pada minit ke-86 menerusi Shahab Zahedi yang menyudahkan bola muntah selepas Muhammad Haziq gagal menangkap kemas percubaan sebelumnya.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat di hadapan 32,372 penyokong yang hadir.
-- BERNAMA