KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia berhasrat meluaskan akses pasaran untuk produk agromakanan premiumnya di China, dengan fokus kepada memperluas saluran import serta memperkukuh kehadiran jenama Malaysia di pasaran negara berkenaan.
Pejabat Penasihat Pertanian di Beijing dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu membincangkan inisiatif berkenaan semasa lawatan ke Pasar Borong Hasil Pertanian Xinfadi Beijing pada Jumaat.
Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia, meninjau bahagian durian, makanan laut dan ayam itik halal di pasar berkenaan serta mengadakan perbincangan panel bersama Pengerusi Xinfadi mengenai usaha mempercepat pembentukan jenama tempatan di bawah program "Taste of Malaysia" selain memantapkan kerjasama perdagangan pertanian Malaysia-China.
"Lawatan ini menandakan babak baharu yang penting dalam kerjasama pertanian kita. Ia terus meningkatkan pendedahan pasaran produk agromakanan premium Malaysia di China, menjana sinergi yang mantap dengan inisiatif nasional Tahun Melawat Malaysia 2026, serta meletakkan asas yang kukuh untuk perkongsian yang bakal membuahkan hasil pada tahun-tahun akan datang," menurut kenyataan itu.
Meliputi kawasan seluas 112 hektar, Xinfadi merupakan hab borong pertanian komprehensif terbesar di Asia, membekalkan lebih 80 peratus hasil segar di Beijing dan bertindak sebagai hab utama "bakul sayur dan mangkuk buah-buahan" bagi ibu negara berkenaan.
Xinfadi turut menempatkan Pavilion Durian Antarabangsa yang menawarkan varieti Malaysia seperti Musang King dan Duri Hitam, serta zon halal dan makanan laut, manakala pusat penyiaran langsung rentas sempadan dan logistik sedang dibina bagi menyokong pengagihan yang lebih luas.
Lawatan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap durian Malaysia di China, dengan eksport ke pasaran China mencecah US$77 juta pada suku pertama 2026, menurut Pentadbiran Am Kastam China (GACC).
Import durian segar China melonjak 294 peratus dalam tempoh berkenaan, manakala eksport durian Malaysia ke China meningkat lebih dua kali ganda berbanding nilai penghantaran durian segarnya bagi keseluruhan tahun lepas.
Selain durian, Pejabat Penasihat Pertanian memaklumkan Malaysia turut menyasar akses pasaran yang lebih besar bagi buah-buahan tropika seperti nanas, nangka dan manggis, serta makanan laut dan ayam itik halal.
"Sebagai pemimpin global dalam pensijilan halal dan pengeluaran ayam itik, Malaysia melihat potensi besar dalam meluaskan eksport ayam itik halal kita ke pasaran China yang luas," katanya.
-- BERNAMA