Am 21/08/2026 11:42 PM

SUKMA 2026: Selangor, Johor Berentap Rebut "Ibu Segala Pingat"

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKMA 2026: Selangor, Johor Berentap Rebut
Kredit: MSN Selangor

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pertembungan antara pasukan tuan rumah dan Johor bagi merebut “ibu segala pingat” pada aksi final bola sepak lelaki dijangka menjadi tumpuan utama Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

Aksi yang dijadualkan bermula pada 8.30 malam itu menemukan dua pasukan yang mara dengan bergaya selepas masing-masing mencatat kemenangan 4-0 pada aksi separuh akhir, dengan Selangor menewaskan Pahang manakala Johor membenam Perak.

Perlawanan esok juga membuka peluang kepada juara baharu untuk mengambil alih takhta selepas penyandang Wilayah Persekutuan tersingkir lebih awal pada edisi kali ini.

Selangor dalam misi menamatkan penantian 28 tahun apabila kali terakhir memenangi emas adalah pada edisi 1998 manakala Johor memburu gelaran sulung.

Sementara itu, saingan hari ini menyaksikan perenang Selangor Shannon Tan mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kejohanan sebanyak tiga kali selain meraih dua pingat emas di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam.

Atlet berusia 15 tahun itu memperbaharui rekod 200 meter (m) kuak kupu-kupu wanita dua kali, masing-masing pada saringan dengan catatan masa 2 minit 15.77 saat (s) sebelum memperbaikinya kepada 2:15.13s untuk meraih emas pada final.

Shannon kemudian membantu kuartet Selangor bersama Khew Zi Xian, Chong Yi Yuan dan Eliza Ai Shen Tan memenangi emas 4x100m gaya bebas wanita dengan rekod baharu temasya 3:54.54s.

Terdahulu, di venue sama, gandingan Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin-Elvis Priestley Clement dari Sarawak mencipta kejutan merangkul emas acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki.

Awang Sharzan-Elvis mengumpul 333.90 mata untuk mengetepikan pemenang emas Sukan SEA 2025 dari Wilayah Persekutuan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie yang meraih 331.11 mata.

Di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, gimnas kebangsaan Cadence Teh Zi Qi mencuri tumpuan apabila meraih dua emas selepas mempertahankan gelaran individu all-around wanita dan membantu Selangor mengungguli acara berpasukan.

Di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi, pemanah berusia 17 tahun dari Miri, Sarawak Wee Yee Qi turut menikmati hari gemilang apabila membolot emas compound berpasukan wanita dan campuran pada penampilan sulungnya selepas baru beralih daripada recurve pada hujung tahun lepas.

Dalam pada itu, Selangor menghampiri gelaran juara keseluruhan apabila gah di persada carta kedudukan pingat dengan mengumpul 60 emas, 51 perak dan 43 gangsa, diikuti Terengganu di tempat kedua (34-32-27) sementara Wilayah Persekutuan ketiga dengan 31-32-30 ketika temasya berbaki tiga hari sebelum melabuhkan tirai pada Isnin ini.

-- BERNAMA