KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan menandatangani Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), sekali gus memperkukuh kerjasama keselamatan dan undang-undang antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemeteraian triti berkenaan ditandatangani bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan Syed Mohsin Raza Naqvi selepas kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif.
Pemeteraian triti itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Pakistan dan disaksikan Muhammad Shehbaz.
“Pemeteraian ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, khususnya dalam memperkukuh kerjasama keselamatan dan undang-undang antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata triti itu adalah hasil rundingan lima siri yang dilaksanakan sejak September 2025, melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Beliau berkata Jemaah Menteri turut memberikan persetujuan terhadap triti berkenaan pada 13 Mei lepas.
Saifuddin Nasution berkata menerusi ITOP, banduan warganegara Malaysia yang ditahan di Pakistan boleh dibawa pulang untuk menjalani baki hukuman di Malaysia manakala banduan warganegara Pakistan yang menjalani hukuman di Malaysia boleh dipindahkan ke negara asal untuk tujuan sama.
“Ini turut membolehkan mereka mengikuti program pemulihan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta bersesuaian dengan acuan dan budaya negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata pemeteraian triti itu menambah satu lagi instrumen perundangan baharu dalam hubungan Malaysia-Pakistan yang telah lama terjalin, selain mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat.
-- BERNAMA