Ekonomi 21/08/2026 10:59 PM

SME Malaysia Seru Belanjawan 2027 Yang Mengutamakan Ke Arah Hasil Yang Boleh Diukur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SME Malaysia Seru Belanjawan 2027 Yang Mengutamakan Ke Arah Hasil Yang Boleh Diukur

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) menggesa Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada hasil yang boleh diukur, bukan sekadar pemberian, pembiayaan dan insentif, dengan kejayaan dinilai semata-mata melalui produktiviti, pelaburan, pertumbuhan dan daya saing.

Persatuan itu melalui cadangan Belanjawan 2027nya menjelaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang menghadapi peningkatan kos buruh, utiliti, pembiayaan, percukaian serta pematuhan sambil perlu melabur dalam pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan (AI), kesediaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta keupayaan tenaga kerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, SME Malaysia mencadangkan laluan pembangunan yang jelas untuk PKS Malaysia, daripada bertahan dan memformalkan perniagaan mereka kepada mengubah, meningkatkan serta akhirnya bersaing dalam pasaran global.

Presiden kebangsaan SME Malaysia, Dr Chin Chee Seong,dan Ahli Majlis Kebangsaan Prof Anthony Dass berkata Malaysia kini mempunyai pelbagai program sokongan PKS, tetapi keutamaan adalah untuk menyelaras serta memudahkan akses kepada program-program ini dengan lebih baik sambil memastikan ia menyampaikan hasil perniagaan yang boleh diukur.

Keberkesanan sokongan daripada Belanjawan 2027 harus diukur secara progresif melalui indikator seperti PKS yang menerima sokongan yang sebenar, kelulusan dan masa pengeluaran, automasi dan penggunaan AI, keuntungan produktiviti, pelaburan swasta serta pelaburan langsung domestik, pembangunan pembekal, perolehan domestik, pengkomersialan dan eksport.

SME Malaysia juga menggesa penilaian ke atas kos PKS terkumpul dan impak kawal selia yang meliputi buruh, utiliti, pembiayaan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-Invois, pelesenan serta  pematuhan.

Memandangkan tekanan kos semasa, sebarang kenaikan selanjutnya kepada gaji minimum RM1,700 semasa perlu ditangguhkan manakala produktiviti, automasi, kemahiran dan pengembangan perniagaan diperkukuhkan.

Cadangan lain termasuk rangka kerja pembiayaan kitaran hayat dan pelaburan PKS yang menggabungkan geran, jaminan, hutang, ekuiti, pelaburan bersama serta modal persendirian; limpahan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih mantap melalui perolehan tempatan, teknologi dan pemindahan bakat; sokongan bersepadu untuk automasi, AI, kemahiran dan ESG; selain sokongan yang lebih baik bagi membantu PKS beralih daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui pengkomersilan kepada peningkatan perniagaan.

SME Malaysia juga mencadangkan gerbang pembangunan PKS bersepadu yang memberikan setiap perniagaan satu profil, penilaian diagnostik dan laluan pembangunan yang disesuaikan untuk menghubungkannya dengan sokongan yang diperlukan.

Persatuan itu berkata Belanjawan 2027 sewajarnya harus membina syarikat Malaysia yang boleh bersaing di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA