KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — HAVI, peneraju rantaian bekalan global, akan membuka TechHUB di Malaysia pada November tahun ini, yang merupakan salah satu daripada empat hab seumpamanya di seluruh dunia dan pertama di Asia Pasifik.
HAVI TechHUB di Kuala Lumpur akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat strategik untuk inovasi rantaian bekalan digital di seluruh rantau ini, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Digital dan Maklumatnya Reto Sahli berkata Malaysia menawarkan kombinasi yang tepat antara cita-cita teknologi, bakat berbilang bahasa dan kesalinghubungan serantau untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya bagi HAVI di Asia Pasifik.
“Melalui TechHUB Kuala Lumpur, kami bukan sahaja membina penyelesaian digital untuk pelanggan dan operasi kami, malah turut mewujudkan peluang kepada profesional Malaysia untuk memegang peranan di peringkat global dan mencorakkan evolusi rantaian bekalan di seluruh rantau ini,” katanya.
TechHUB Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan pandangan pasaran serantau, kepakaran digital serta bakat tempatan dan antarabangsa untuk membangunkan penyelesaian rantaian bekalan Asia Pasifik, dengan tumpuan kepada ramalan berasaskan kecerdasan buatan (AI), analisis data, automasi dan pengurusan armada berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Ia sekali gus menyokong operasi logistik yang lebih responsif dan berdaya tahan di seluruh rantau ini.
TechHUB itu telah mengambil seramai 50 profesional teknologi sejak Mac 2026 dan dijangka berkembang kepada 100 pekerja menjelang akhir tahun yang berperanan dalam meramalkan permintaan, analitik data, pengurusan produk, kejuruteraan perisian, keselamatan siber, operasi awan dan pengurusan perubahan.
Havi menekankan sektor logistik dan rantaian bekalan Malaysia sedang memasuki tempoh transformasi yang pesat, dengan pasaran diunjur berkembang kepada US$31.23 bilion pada 2026, dan mencapai US$40.11 bilion menjelang 2031 daripada US$29.70 bilion pada 2025.
Pertumbuhan itu didorong oleh momentum e-dagang yang berterusan, pemodenan dalam rantaian bekalan dan peningkatan permintaan terhadap automasi.
Ia juga memaklumkan ekonomi digital Malaysia semakin berkembang, dengan pelaburan digital diluluskan sebanyak RM87.4 bilion dicatatkan pada 2025, yang dijangka mewujudkan lebih 31,000 pekerjaan bernilai tinggi.
— BERNAMA