KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih MNRB Holdings Bhd meningkat kepada RM183.75 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2026 daripada RM168.43 juta pada suku pertama 2026 berikutan sumbangan yang lebih baik daripada perniagaan insurans semula, takaful keluarga dan takaful semula.
Menurut kumpulan itu, perolehan juga menokok 2.8 peratus kepada RM1 bilion daripada RM975.56 juta sebelumnya, didorong oleh prestasi lebih kukuh daripada perniagaan takaful am, takaful keluarga dan takaful semula.
“Secara keseluruhan, prestasi kumpulan mencerminkan kekuatan portfolio perniagaannya yang pelbagai, dengan pertumbuhan berterusan dalam segmen takaful serta keuntungan mampan daripada perniagaan insurans semula membantu mengimbangi kesan daripada pengiktirafan hasil yang lebih rendah dalam portfolio tertentu.
"Kumpulan itu kekal mempunyai asas yang kukuh untuk menjana pendapatan yang mampan melalui penajajaminan yang berdisiplin, pengurusan tuntutan yang berkesan dan strategi pelaburan berhemat," menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengenai prospek, MNRB memaklumkan bahawa industri dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil, disokong oleh keadaan makroekonomi yang menggalakkan, kesedaran yang meningkat terhadap perlindungan kewangan serta pelbagai inisiatif kerajaan.
“Takaful Ikhlas akan terus memanfaatkan asas industri yang positif ini melalui keupayaan pengedaran pelbagai saluran yang dipelbagaikan serta langkah pengurusan tuntutan yang cekap.
“Sementara itu, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), anak syarikat milik penuh MNRB, menjangkakan sektor takaful semula berkembang seiring dengan industri takaful, terutama dalam segmen perubatan dan kesihatan, mencerminkan permintaan yang meningkat terhadap perlindungan dan penyelesaian berkaitan penjagaan kesihatan,” menurutnya.
Secara keseluruhan, MNRB memaklumkan kumpulan itu terus yakin terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang perniagaan insurans semula dan takaful semula, disokong oleh portfolio perniagaan yang pelbagai, langkah penajajaminan yang berdisiplin serta tumpuan terhadap keuntungan yang mampan.
Sementara itu, menurut MNRB dalam kenyataan berasingan, susulan momentum pendapatan suku pertama tahun kewangan 2027, kumpulan itu sedang mempercepat transformasinya untuk menjadi kumpulan yang lebih menumpukan kepada perniagaan insurans semula dan takaful semula.
Menurutnya langkah itu dilaksanakan menerusi cadangan pengambilalihan baki 80 peratus kepentingan dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) serta cadangan penjualan perniagaan takaful kumpulan.
Kedua-dua urus niaga korporat yang dicadangkan itu diumumkan dalam tempoh tiga bulan.
Pada 4 Ogos 2026, MNRB memeterai perjanjian pelaksanaan dengan Rakyat Nominees Sdn Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd berkaitan cadangan penjualan Takaful Ikhlas dengan jumlah pertimbangan jualan sebanyak RM1.64 bilion, tertakluk kepada pelarasan.
Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata cadangan pengambilalihan Labuan Re akan mengukuhkan lagi platform insurans semula dan takaful semula kumpulan itu.
Menurutnya cadangan penjualan Takaful Ikhlas akan memanfaatkan nilai perniagaan takafulnya untuk pemegang saham dan membolehkan kumpulan itu menumpukan modal dan sumbernya kepada peluang pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
“Kami optimis dengan peluang yang ada dan yakin dengan keupayaan kami untuk merealisasikan matlamat strategik kami kepada pendapatan yang lebih kukuh, berdaya tahan serta nilai jangka panjang yang lebih besar untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
MNRB adalah syarikat pegangan kewangan yang menawarkan penyelesaian insurans semula, takaful semula dan takaful melalui anak syarikat milik penuhnya Malaysian Re, Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd.
-- BERNAMA