Am 21/08/2026 11:16 PM

JKNPP Ambil Langkah Tambah Baik Pengurusan Kesesakan Jabatan Kecemasan HPP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JKNPP Ambil Langkah Tambah Baik Pengurusan Kesesakan Jabatan Kecemasan HPP
fb Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP), terutama ketika waktu puncak.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Zulhizzam Abdullah dalam kenyataan malam ini berkata antara langkah jangka pendek yang sedang dilaksanakan ialah projek menaik taraf ruang di Blok Jabatan Pesakit Luar HPP bagi membolehkan peluasan kawasan rawatan serta integrasi aliran pesakit Jabatan Kecemasan dan Trauma yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Selain itu, persekitaran menunggu yang lebih selesa akan disediakan, khususnya kepada warga emas serta golongan berkeperluan khas.

“JKNPP mengambil maklum berhubung hantaran video yang tular di media sosial mengenai tempoh masa menunggu yang panjang di Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP pada waktu malam. Kami memohon maaf atas ketidakselesaan yang dialami, terutama pesakit warga emas dan pengiring,” katanya.

Dr Zulhizzam berkata pihaknya amat menghargai keprihatinan dan kesabaran orang ramai, selain sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata pengurusan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP dilaksanakan mengikut Sistem Saringan (Triage) berasaskan tahap keseriusan kes perubatan dan bukannya berdasarkan masa ketibaan.

Menurut Dr Zulhizzam, kes Zon Merah yang kritikal dan mengancam nyawa akan diberikan rawatan serta-merta manakala Zon Kuning membabitkan kes berisiko tinggi yang memerlukan perhatian perubatan segera manakala Zon Hijau membabitkan kes ringan atau pesakit yang hadir dengan gejala tidak kritikal.

“Pada waktu puncak, termasuk lewat malam keutamaan rawatan diberikan kepada kes Zon Merah serta Kuning dan keadaan itu menyebabkan pesakit Zon Hijau terpaksa menunggu lebih lama sekiranya berlaku lonjakan kes kritikal secara serentak.

“Tempoh keseluruhan menunggu untuk mendapatkan rawatan juga bergantung kepada masa diperlukan bagi menjalankan ujian darah serta pemeriksaan lanjut oleh pasukan kepakaran berkaitan,” katanya.

Beliau berkata untuk pelan jangka masa panjang, projek pembangunan blok tambahan, iaitu Blok Wanita dan Kanak-Kanak HPP yang sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2027 akan dilengkapi dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma yang dirancang dengan saiz yang lebih luas dan selesa.

“Sebagai tambahan juga, satu blok tambahan sedang dalam fasa pembinaan di bawah Projek Blok Klinik Pakar dan Wad, dan ia bakal disiapkan pada 2029. Pembangunan kedua-dua infrastruktur baharu itu akan menyediakan kapasiti ruang rawatan yang lebih besar, fasiliti moden dan persekitaran kerja yang lebih kondusif bagi menampung kedatangan pesakit di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata JKNPP dan HPP kekal komited dalam memberikan rawatan yang saksama serta berkualiti manakala orang awam yang mengalami simptom ringan dan bukan kecemasan digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan di klinik kesihatan terdekat bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

-- BERNAMA