KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Semakan keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di politeknik bagi Sesi Akademik I 2026/2027 telah dibuka dan boleh dibuat bermula 5 petang tadi.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan semakan boleh dibuat melalui pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my dan calon yang berjaya boleh mencetak surat tawaran melalui Sistem Ambilan myPOLYCC di pautan yang sama.
Calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran mulai hari ini hingga 28 Ogos ini.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 12 program Ijazah Sarjana Muda Politeknik ditawarkan pada sesi ini meliputi bidang Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Reka Bentuk dan Komunikasi Visual serta Pelancongan dan Hospitaliti di empat politeknik.
Ia meliputi Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor; Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak.
Sebanyak 534 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian dengan pendaftaran pelajar baharu akan bermula pada 21 September.
Pelajar yang belum menerima sebarang tawaran dinasihatkan untuk membuat rayuan secara dalam talian bermula hari ini hingga 4 Sept melalui pautan sama dengan semakan tawaran susulan 1 (calon rayuan) pada 8 Sept.
Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan itu boleh dimajukan secara terus ke Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti atau melalui nombor telefon 03-8888 3837 dan e-mel jppkk.ambilan@mohe.gov.my.
-- BERNAMA