Am 21/08/2026 08:05 PM

Nahas Kenderaan JIM: Norhayati Masih Keliru Selepas Kehilangan Suami, Dua Anak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nahas Kenderaan JIM: Norhayati Masih Keliru Selepas Kehilangan Suami, Dua Anak
Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi, Mohd Nadzri Razali menunjukkan gambar keluarga adik perempuannya kepada pihak media ketika ditemui di Taman Fasa Aman 2, Mambang Di Awan.

IPOH, 21 Ogos (Bernama) -- Wanita yang terselamat dalam nahas membabitkan tiga beranak maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen (JIM) di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, di ibu negara, Rabu lepas, kini semakin stabil dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Norhayati Razali, 55, yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dilaporkan telah dipindahkan ke wad biasa dan menunjukkan perkembangan positif apabila mampu makan serta minum menggunakan cawan tanpa bantuan tiub.

Abangnya, Mohd Nadzri Razali, 69, berkata Norhayati bagaimanapun masih mengalami masalah ingatan susulan kecederaan dialaminya termasuk kecederaan pada bahagian kepala.

“Dia (Norhayati) sudah tahu suami dan dua anaknya meninggal dunia. Selepas sedar, keluarga bawa dia melihat jenazah dan beritahu apa yang berlaku. Dia cuma mengangguk dan tidak berkata apa-apa.

“… namun keesokan harinya dia bertanya mana suami dan anak-anaknya yang tidak datang-datang (melawat di hospital). Jadi kami tidak pasti sama ada dia masih ingat atau tidak apa yang sudah diberitahu kepadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Nadzri berkata adiknya mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan, tangan, pinggang, lutut serta kaki, selain kepala yang memerlukan rawatan di hospital.

“Sekarang ini kami masih belum tahu berapa lama dia perlu dirawat di HKL. Doktor pun belum tentukan sama ada dia boleh dipindahkan ke hospital lebih dekat seperti di Ipoh atau Teluk Intan.

“Kalau doktor benarkan dan ada peluang untuk dibawa balik ke sini, mungkin lebih mudah untuk keluarga menjaganya, tetapi keadaan dia memerlukan ambulans khas,” katanya.

Mohd Nadzri berkata dia belum berkesempatan melawat Norhayati dan berhadap dapat berbuat demikian hujung minggu ini.

“Saya harap ada orang boleh bawa saya pergi Sabtu atau Ahad ini. Kalau pandu kereta sendiri, saya tidak tahu jalan di Kuala Lumpur dan takut sesat,” katanya.

Mengenai proses siasatan nahas itu, Mohd Nadzri berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus bagi memastikan keadilan kepada mangsa.

Pada 19 Ogos lepas, tiga pejalan kaki daripada satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori Black Maria JIM yang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit, Kuala Lumpur bagi operasi pendatang tanpa izin.

Lori tanpa muatan itu dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.

-- BERNAMA