KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Ganjaran sebanyak RM50,000 menanti pelari yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 21 kilometer (km) dan 42km pada edisi sulung Malaysia Marathon 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.
Presiden Malaysia Marathon Eddy Casmady berkata ganjaran itu ditawarkan khusus kepada pelari Malaysia sebagai galakan untuk atlet elit tempatan mencabar rekod kebangsaan dalam kedua-dua kategori berkenaan.
“Ini antara tarikan kepada pelari elit terutama rakyat Malaysia bagi kategori 21km dan 42km. Siapa yang boleh pecahkan rekod itu, memang itulah hadiahnya.
“Sebenarnya kita mahu memberi galakan dan dorongan kepada mereka yang menyertai Malaysia Marathon untuk edisi pertama ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Malaysia Marathon 2026 di sini hari ini.
Mengulas penganjuran sulung kejohanan itu, Eddy memaklumkan laluan perlumbaan itu turut mendapat pengiktirafan World Athletics selepas proses pengukuran laluan dilakukan dan sijil berkaitan diperoleh.
Beliau berkata peserta khususnya bagi kategori jarak jauh bakal berdepan cabaran apabila perlumbaan melalui dua lebuh raya utama, termasuk laluan mendaki kira-kira 900 meter (m).
“Kalau kita tengok, pendakian agak tinggi. Ada bahagian daripada AKLEH menuju ke laluan seterusnya sepanjang kira-kira 900m yang memang mendaki, jadi ia akan memberi cabaran kepada peserta tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Malaysia Marathon 2026 bakal menyaksikan penyertaan 25,000 peserta melibatkan empat kategori iaitu 42km dengan 2,000 pelari, 21km (8,000), 10km (5,000) dan 5km sebanyak 10,000 pelari
Daripada jumlah itu, lebih 2,300 peserta merupakan pelari antarabangsa termasuk atlet elit dari Jepun dan Nigeria.
Selain aksi pelari elit, acara tersebut turut menampilkan kelainan apabila robot humanoid HONOR bakal menyertai larian bagi kategori 10km.
Perlumbaan Malaysia Marathon akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur dan berakhir di kawasan sekitar KLCC.
-- BERNAMA