MELAKA, 21 Ogos (Bernama) -- Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 antara program utama diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang di sini pada 29 hingga 31 Ogos ini, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Peringkat Negeri Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebanyak tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlabuh di perairan Klebang bagi memberi peluang kepada rakyat untuk melihat aset pertahanan negara secara lebih dekat.
"Selepas dua tahun sambutan Hari Kebangsaan diadakan di hadapan Dataran Pahlawan, tahun ini sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang.
"Bukan sahaja formasi perbarisan jauh lebih gah dan panjang bakal disajikan kepada pengunjung di sepanjang jalan persisiran pantai di Klebang, tetapi tahun ini kerajaan negeri bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menganjurkan Karnival CIMIC," katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual 'Dak Rauf Masuk Konti' di Melakafm di sini hari ini.
Beliau berkata pada karnival itu juga, pengunjung turut berpeluang menyaksikan antaranya demonstrasi payung terjun, pertunjukan udara pesawat pejuang, pertunjukan udara helikopter serta demonstrasi kepakaran pasukan khas.
Katanya, perasmian Karnival CIMIC akan diadakan pada sebelah pagi 30 Ogos manakala sambutan ambang merdeka diadakan sebelah malam hari yang sama dengan pelbagai pengisian kebudayaan serta persembahan artis jemputan antaranya Ziana Zain, Amy Search dan Charly Van Houten.
Ab Rauf berkata kemuncak sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos pula menyaksikan antaranya perbarisan dan perarakan kontinjen, perarakan aset kenderaan, persembahan etnik dan budaya, acara padang, acara kreatif serta perarakan kereta berhias.
Selain itu, beliau berkata pengunjung turut berpeluang menyaksikan lintas hormat udara dan pelbagai demonstrasi yang menambah emeriahan sambutan berkenaan.
Beliau berkata turut diadakan program Melaka Berselawat pada 29 Ogos dengan pengisian solat berjemaah, qasidah dan tausiyah bersama jemputan khas iaitu Habib Syech Assegaf.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 2,000 tempat duduk disediakan di kawasan tempat duduk utama awam selain tempat duduk bebas di sepanjang laluan perbarisan untuk pengunjung.
"Sebanyak 11 lokasi parkir awam dengan hampir 5,000 lot parkir disediakan untuk pengunjung ke Dataran 1Malaysia Klebang.
"Perkhidmatan bas perantara disediakan di tempat mengambil penumpang di kawasan parkir ditetapkan dan kawalan trafik serta penutupan jalan akan dilakukan mengikut jadual ditetapkan sepanjang sesi raptai dan ketika sambutan berlangsung bagi melancarkan perjalanan program," katanya.
Justeru, katanya orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal untuk ke Dataran 1Malaysia dan sentiasa mengikuti arahan petugas serta pihak berkuasa yang berada di sekitar kawasan itu.
-- BERNAMA