Am 21/08/2026 08:12 PM

Raja Permaisuri Agong Berkenan Lancar Muzium Tekstil Merdeka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Permaisuri Agong Berkenan Lancar Muzium Tekstil Merdeka
fb Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan melancarkan Muzium Tekstil Merdeka di pekarangan Menara Merdeka Maybank di sini.

Muzium berkenaan dibuka oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi memelihara dan meraikan warisan tekstil alam Melayu menerusi penceritaan mendalam serta pengalaman budaya interaktif.

Raja Permaisuri Agong bertitah setiap negara mempunyai warisan yang perlu dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Seri Paduka Baginda bertitah tradisi budaya merupakan cerminan identiti serta nilai yang membentuk masyarakat negara ini.

“Saya berharap Muzium Tekstil Merdeka akan menjadi sebuah pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting untuk semua, serta menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

“Saya juga berharap anak-anak muda akan menghargai warisan dan budaya negara kita supaya tidak akan hilang begitu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Koleksi peribadi milik Allahyarham Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff atau Azah Aziz, isteri kepada Almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid dan bonda bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Aziz, menjadi teras utama dalam muzium itu.

Koleksi itu merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas yang telah disumbangkan keluarga Azah.

Muzium berkenaan turut mengambil inspirasi daripada karya penting Azah iaitu Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.

Mempunyai lapan galeri, Muzium Tekstil Merdeka turut dilengkapi sebuah pusat pengajian yang merangkumi makmal konservasi, perpustakaan fabrik serta pusat pengetahuan tekstil.

Turut hadir menyambut keberangkatan Raja Permaisuri Agong ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

-- BERNAMA