SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Perenang sensasi berusia 15 tahun Shannon Tan mencipta hari gemilang apabila memecahkan rekod Sukan Malaysia (SUKMA) sebanyak tiga kali, selain membantu Selangor meraih dua pingat emas pada temasya SUKMA Selangor 2026, di sini hari ini.
Shannon terlebih dahulu memecahkan rekod SUKMA dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu wanita pada sesi saringan pagi dengan catatan 2 minit 15.77 saat (s) di Pusat Akuatik Darul Ehsan, sekali gus memadam rekod terdahulu 2:17.79s milik perenang Sarawak, Hii Siew Siew, yang dilakukan pada edisi 2012 di Pahang.
Pada saingan final, Shannon tampil lebih bertenaga apabila mencatat 2:15.13s untuk meraih emas, sekali gus memperbaiki rekod temasya miliknya buat kali kedua pada hari yang sama.
Catatan itu juga menyaksikan beliau hanya ketinggalan 0.83 saat daripada rekod kebangsaan 2:14.30s milik Khoo Cai Lin yang dilakukan pada 2009.
Namun, aksi cemerlang Shannon belum berakhir apabila beliau kembali membantu Selangor meraih emas dalam acara 4x100m gaya bebas wanita, selain sekali lagi memecahkan rekod SUKMA.
Kuartet Selangor yang turut dibarisi Khew Zi Xian, Chong Yi Yuan dan Eliza Ai Shen Tan mencatat masa 3:54.54s untuk memperbaharui rekod temasya 3:55.84s yang dilakukan oleh mereka sendiri pada edisi lalu di Sarawak.
Wilayah Persekutuan meraih perak dengan catatan 3:58.13s, manakala Pulau Pinang membawa pulang gangsa selepas merekodkan 3:59.83s.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat, Shannon berkata dua rekod yang dilakarnya hari ini amat bermakna, terutama selepas memberikan persembahan terbaik dalam acara individu dan berganti-ganti.
Walaupun mencatat persembahan cemerlang, Shannon mengakui masih dahagakan kejayaan, dengan peluang untuk mencabar rekod kebangsaan dalam acara lain menjadi motivasi tambahan untuknya meningkatkan usaha dalam latihan.
Beliau kini mengalihkan fokus kepada acara 100m kuak kupu-kupu wanita esok, yang disifatkannya sebagai antara acara kegemarannya, namun mengakui keletihan selepas melalui hari yang padat di kolam renang.
Kutipan dua emas hari ini menyaksikan Shannon kini mengumpul lima pingat emas pada temasya kali ini, selepas sebelum ini memenangi acara 400m rampaian individu wanita, 200m rampaian individu wanita dan 4x100m rampaian campuran.
Sementara itu, perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Dzulfikry meneruskan penguasaan dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki apabila mempertahankan pingat emas selepas mencatat masa 15:59.79s.
Bagaimanapun, perenang berusia 18 tahun itu kecewa kerana gagal memperbaharui rekod SUKMA 15:51.53s yang dilakarnya pada edisi lalu di Sarawak.
Perenang Pulau Pinang Samuel Chong meraih perak dengan catatan 16:39.06s, manakala wakil tuan rumah, Hermann Bok membawa pulang gangsa selepas mencatat 16:48.44s.
SUKMA Selangor 2026 yang bermula pada 15 Ogos lalu akan berlangsung sehingga 24 Ogos ini.
-- BERNAMA