Am 21/08/2026 09:16 PM

WCE Pemangkin Rapatkan Jurang Luar Bandar dan Bandar Selangor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
WCE Pemangkin Rapatkan Jurang Luar Bandar dan Bandar Selangor
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Perasmian Rancangan Selangor Kedua yang mengetengahkan hala tuju dan agenda pembangunan negeri bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka menjadi pemangkin utama merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar di Selangor, khususnya di utara negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penyambungan WCE ke Tanjong Karang, mampu memendekkan masa perjalanan dan seterusnya membuka potensi pembangunan di kawasan utara Selangor.

“Bila sambungan Tanjong Karang tu siap, sebenarnya kita dapat kurangkan masa 45 minit ke satu jam dan secara automatik, utara Selangor bermula dari Kuala Selangor ke Tanjong Karang, Sungai Besar dan akhirnya Sabak Bernam, kita boleh buka potensinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Rancangan Selangor Kedua (RS-2) oleh Menteri Besar Selangor Bersama-sama Editor, yang turut dihadiri pengarang agensi media termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, di sini hari ini.

Laluan Seksyen 7 itu, merupakan antara jajaran penting WCE di Selangor, melibatkan laluan dari Assam Jawa, Kuala Selangor ke Tanjong Karang, sepanjang kira-kira 29.5 kilometer.

Amirudin berkata antara potensi yang boleh dibuka ialah pembangunan perumahan yang membolehkan penduduk tinggal di kawasan utara Selangor dan bekerja di pusat bandar seperti Shah Alam atau Klang.

“Paling tidak untuk perumahan. Orang boleh duduk di Tanjong Karang dan bekerja ke Shah Alam dalam tempoh masa setengah jam untuk sampai ataupun ke Klang,” katanya.

Amirudin berkata pengalaman pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS1), menunjukkan pembangunan wilayah bergerak perlahan tanpa sokongan infrastruktur awam yang baik.

Justeru beliau berkata pembangunan infrastruktur awam, akan diberi penekanan lebih besar dalam RS-2, selain kerajaan negeri akan terus melobi lebih banyak pelaburan infrastruktur menerusi Rancangan Malaysia.

Lesson learned penting dalam Rancangan Selangor Pertama, kalau kita tak ada pelaburan pada insfrastruktur awam ataupun keterhubungan tu, dia akan jadi ataupun akan jadi lambat. Itu yang jadi pada SABDA (Sabak Bernam Development Area). Itu juga jadi pada IDRISS (Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor).

“Jadi nampaknya kerajaan kena masuk (terlibat sama) tetapi dengan persefahaman syarikat-syarikat,” katanya.

Terdahulu Amirudin melancarkan RS-2, iaitu rancangan ekonomi negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang, dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion sepanjang tempoh berkenaan, di sini hari ini.

-- BERNAMA