Dunia 21/08/2026 08:14 PM

Tottenham Setuju Yuran Awal £75 Juta Dengan Man City Untuk Savinho

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tottenham Setuju Yuran Awal £75 Juta Dengan Man City Untuk Savinho
FOTO FAIL: Bola Sepak – Piala FA – Pusingan Kelima – Newcastle United lwn Manchester City – St James' Park, Newcastle, Britain – 7 Mac 2026. Pemain Manchester City, Savinho, meraikan jaringan gol pertama pasukannya. Action Images menerusi Reuters/Craig Brough/Fotofail.

LONDON, 21 Ogos (Bernama-PA Media/dpa) -- Tottenham melengkapkan separuh daripada rancangan pembelian berganda mereka daripada Manchester City selepas mencapai persetujuan untuk mendapatkan Savinho, menurut Press Association.

Pemain sayap Brazil, Savinho, sudah lama menjadi sasaran Tottenham selepas kelab itu gagal mendapatkan khidmatnya sebelum musim 2025-26.

Kali ini, Tottenham berjaya mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu dengan yuran awal £75 juta (US$102.3 juta), selain £10 juta dalam bentuk bayaran tambahan, dalam apa yang berpotensi menjadi perpindahan berganda sensasi, dengan rundingan masih berlangsung bersama City bagi mendapatkan penyerang Omar Marmoush menyertai kelab utara London itu.

Ketibaan Savinho akan menjadikan perbelanjaan Tottenham pada musim panas ini melebihi £300 juta dan menggembirakan pengurus Roberto De Zerbi, yang sebelum ini menjanjikan pengukuhan di bahagian serangan.

Tottenham berdepan masa yang suntuk untuk melengkapkan perpindahan Savinho sebelum 12 tengah hari (1100 GMT) pada Jumaat bagi memastikan dia boleh membuat penampilan sulung dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Brentford pada Sabtu.

Dengan pemain serangan James Maddison, Dejan Kulusevski, Mohammed Kudus, Xavi Simons dan Wilson Odobert sama ada masih dalam proses mendapatkan semula kecergasan sepenuhnya selepas mengalami kecederaan atau masih belum dapat diturunkan, Savinho dijangka terus disenaraikan dalam kesebelasan utama Tottenham sebaik sahaja perpindahannya dimuktamadkan.

Savinho, yang berkaki kiri dan selesa beraksi di kedua-dua sayap, memulakan kerjayanya bersama Atletico Mineiro di Brazil sebelum tempoh yang berjaya bersama kelab di bawah City Football Group, Troyes dan Girona, membolehkannya berpindah ke City.

Savinho bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama secara tetap di Stadium Etihad, namun selepas menyumbang tujuh gol dan 16 bantuan gol dalam 84 penampilan untuk City, dia kini berharap dapat beraksi dengan lebih kerap dan memenuhi potensinya di bawah kendalian De Zerbi di Tottenham.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa