Am 21/08/2026 04:28 PM

Sambutan Hari Kebangsaan: 120 Bas, Van Ulang-alik Percuma Disediakan Tiga Hari Di Melaka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sambutan Hari Kebangsaan: 120 Bas, Van Ulang-alik Percuma Disediakan Tiga Hari Di Melaka
Kredit: FB - Ngwe Hee Sem

 

MELAKA, 21 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 30 bas dan 90 van ulang-alik disediakan untuk pengunjung ke Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 dan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 Ogos ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata perkhidmatan pengangkutan percuma itu akan melibatkan 13 pick-up point termasuk di The Sail Gallery, Residensi PR1MA, Muzium Kapal Selam, Dataran 1Malaysia Klebang dan Pameran Kapal TLDM.

Lokasi lain ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, pekarangan Masjid Al-Amin, pekarangan Hotel Courtyard, kawasan komersial Kota Bendahari, bahu jalan Eye On Melaka, Kompleks Perniagaan Taman Limbongan Jaya, Kompleks Perniagaan Taman Syahbandar dan Kompleks Perniagaan Taman Kota Laksamana.

Beliau berkata perkhidmatan itu akan beroperasi bermula dari 6 petang hingga 12 tengah malam pada 29 Ogos bagi Program Melaka Berselawat, manakala untuk sambutan ambang merdeka pada 30 Ogos, pergerakan bas dan van ulang-alik itu akan bermula pada 6 petang hingga 1 pagi.

"Bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos pula, perkhidmatan bas dan van berkenaan akan beroperasi bermula 4 pagi hingga 7 pagi dan 12 tengah hari hingga 3 petang.

"Perkhidmatan berkenaan disediakan bukan sahaja untuk memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang tiga hari program berkenaan berlangsung, tetapi juga memastikan kelancaran aliran trafik serta kelancaran program," katanya kepada pemberita di Konti Melakafm, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program temu bual "Kokenut Shake" Dulu berkaitan Persediaan Logistik, Keselamatan dan Perpaduan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026.

Ngwe berkata maklumat lengkap berkaitan penutupan atau lencongan jalan sepanjang tiga hari itu akan diumumkan lebih awal menerusi media sosial rasmi Kerajaan Negeri Melaka supaya orang ramai dapat merujuk, seterusnya merancang perjalanan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata dianggarkan 50,000 hingga 80,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 pada 31 Ogos ini.

Beliau berkata sebanyak 125 kontijen melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, agensi swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi dan persatuan atau pertubuhan dengan kekuatan 7,790 peserta terlibat dalam perbarisan sambutan Hari Kebangsaan berkenaan.

"Selain itu, sebanyak 31 kenderaan termasuk 11 kereta berhias terlibat dalam perarakan itu membabitkan 506 peserta.

"Selain aspek logistik dan keselamatan, aspek kesihatan awam juga diberi perhatian sepanjang perjalanan program dengan meletakkan petugas kesihatan yang mencukupi serta menambah baik keseluruhan persediaan sambutan kali ini," katanya.

-- BERNAMA