Dunia 21/08/2026 05:27 PM

Bekas PM Pakistan Imran Khan Dihantar Semula Ke Penjara Selepas Pemeriksaan Kesihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bekas PM Pakistan Imran Khan Dihantar Semula Ke Penjara Selepas Pemeriksaan Kesihatan
Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan -- REUTERS/Akhtar Soomro

     

ISTANBUL, 21 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dihantar semula ke penjara selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah kemudahan perubatan di Islamabad susulan perintah mahkamah, kata seorang pegawai kanan pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Tanpa menyebut nama Khan, 73, Menteri Penerangan Pakistan Attaullah Tarar berkata: “Susulan keputusan Mahkamah Agung, banduan itu (Imran Khan) dibawa ke hospital dengan kawalan keselamatan sewajarnya pada malam antara 20 dan 21 Ogos 2026.”

“Sekumpulan doktor bertauliah, termasuk pakar oftalmologi, pakar kardiologi dan doktor perubatan, menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap beliau dan mengesahkan beliau berada dalam keadaan sihat,” kata Tarar dalam kenyataan di X.

Beliau berkata kakak Khan, Uzma Khan, “berada bersama beliau sepanjang proses pemeriksaan dan rawatan perubatan.”

“Selepas keseluruhan proses selesai, beliau dipindahkan semula ke Penjara Adiala kira-kira 5 pagi waktu tempatan (0000GMT)” pada Jumaat, kata menteri berkenaan.

Pemeriksaan perubatan terhadap Khan, pengasas parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dijalankan selepas Mahkamah Agung Pakistan pada Selasa mengarahkan pihak berkuasa penjara memindahkan bekas perdana menteri itu, yang digulingkan daripada kuasa pada 2022, ke Hospital Antarabangsa Shifa di Islamabad.

Bagaimanapun, Tarar berkata pemeriksaan perubatan Khan sebaliknya dijalankan di Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS) “berikutan keadaan keselamatan yang tercetus akibat tindakan pekerja PTI di sepanjang laluan menuju ke Shifa International Hospital dan di luar hospital berkenaan.”

Beliau berkata doktor dari hospital itu turut hadir ketika pemeriksaan perubatan dijalankan di PIMS.

Mahkamah Agung sebelum ini membenarkan Khan ditempatkan di hospital sehingga pendengaran seterusnya bagi kes beliau pada 16 Sept.

Khan, bekas kapten pasukan kriket yang pernah menjuarai Piala Dunia, dipenjarakan sejak Ogos 2023 selepas disabitkan kesalahan dalam beberapa kes yang disifatkan beliau dan parti PTI sebagai bermotifkan politik.

-- BERNAMA-ANADOLU