Am 21/08/2026 07:17 PM

PM Anwar Tiba Di Brunei Untuk Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Tiba Di Brunei Untuk Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Menteri Luar Brunei Darussalam Putera Mateen Bolkiah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei malam ini bagi menghadiri Mesyuarat Ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat dan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Daripada Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pada 6.10 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Brunei Putera Abdul Mateen Bolkiah.

Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan.

Esok, Anwar dijadualkan menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar juga dijangka menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana.

Pada tahun 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Brunei dicatatkan sebanyak RM5.86 bilion (USD1.37 bilion).

Jumlah eksport ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 bernilai RM4.20 bilion (USD0.98 bilion), manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion (USD0.39 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah RM2.38 bilion (USD0.6 bilion).

-- BERNAMA