KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Allianz Malaysia Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2026 meningkat kepada RM218.65 juta daripada RM214.04 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Menurut penyedia perkhidmatan insurans itu, perolehan kumpulan juga bertambah kepada RM1.62 bilion daripada RM1.52 bilion sebelumnya khususnya disebabkan oleh perolehan insurans yang lebih tinggi daripada segmen insurans am dan insurans hayat.
Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun, 2026, keuntungan bersihnya adalah lebih tinggi iaitu pada RM446.00 juta daripada RM427.07 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan juga adalah lebih baik iaitu pada RM3.26 bilion daripada RM3.04 bilion sebelumnya, khususnya disebabkan oleh perolehan insurans yang lebih tinggi daripada kedua-dua segmen insurans.
Setakat 30 Jun, 2026, jumlah aset kumpulan berkembang sebanyak RM724.3 juta kepada RM31.22 bilion daripada RM30.49 bilion setakat 31 Dis, 2025, terutamanya berpunca daripada peningkatan dalam pelaburan pada suku kedua.
Jumlah liabiliti kumpulan setakat 30 Jun, 2026 meningkat sebanyak RM449.7 juta kepada RM24.66 bilion daripada RM24.21 bilion setakat 31 Dis, 2025, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam liabiliti kontrak insurans.
Peningkatan dalam liabiliti kontrak insurans tersebut adalah berpunca daripada pertumbuhannya dalam perniagaan.
Jumlah ekuiti kumpulan setakat 30 Jun, 2026 bertambah 4.4 peratus atau RM274.6 juta kepada RM6.56 bilion daripada RM6.29 bilion pada 31 Dis, 2025.
Ini terutamanya berpunca daripada keuntungan bersih yang dijana bagi tempoh yang berakhir pada 30 Jun, 2026.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjelaskan pihaknya kekal memberi tumpuan untuk melaksanakan keutamaan strategiknya dan berada pada kedudukan yang baik untuk menyampaikan pertumbuhan yang mampan serta menguntungkan.
Ia akan terus memperkukuh keupayaan pengedarannya, meningkatkan produktiviti menerusi pelbagai salurannya serta memanfaatkan kecemerlangan teknikal dalam penajajaminan dan pengurusan tuntutan bagi menyokong pertumbuhan portfolio yang berdisiplin serta penciptaan nilai pelanggan.
Di samping itu, kumpulan itu menambah bahawa ia akan terus melabur dalam inisiatif digital untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan ketahanan dan memberi pengalaman pelanggan yang lebih baik.
-- BERNAMA