Am 21/08/2026 07:14 PM

Video Tular PKMD Kulai: Individu Hadir Bagi Laporan Diarahkan Mahkamah - JKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Video Tular PKMD Kulai: Individu Hadir Bagi Laporan Diarahkan Mahkamah - JKM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menjelaskan kehadiran seorang individu bersama anak-anaknya di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kulai, adalah bagi menghadiri temu bual untuk penyediaan laporan yang diarahkan mahkamah, bukannya seperti yang didakwa dalam sebuah video tular di media sosial.

JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penjelasan itu dibuat berdasarkan semakan serta maklumat yang diterima daripada PKMD Kulai, berhubung video berkenaan.

Menurut jabatan itu, individu terbabit hadir untuk ditemu bual oleh pegawai JKM bagi tujuan menyediakan laporan seperti diarahkan mahkamah.

“JKM memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap, kerana perkara tersebut boleh menimbulkan salah faham serta persepsi yang tidak tepat terhadap Jabatan dan pegawai-pegawai yang melaksanakan tugas rasmi,” menurut kenyataan itu.

JKM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa mereka akan sentiasa komited dalam memastikan setiap tindakan yang diambil oleh pegawai dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta selaras dengan tanggungjawab, peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

JKM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan kandungan media sosial yang belum disahkan kesahihannya, atau menyebarkan semula maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan pihak terlibat.

Orang ramai juga disaran mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi, sekiranya mempunyai persoalan mengenai perkhidmatan atau tindakan JKM.

Tular di platform Threads mengenai kehadiran ‘warga R’ (pelarian Myanmar), meminta bantuan di JKM dan menimbulkan persoalan bagaimana perkara itu dibenarkan, memandangkan mereka berada di bawah pengawasan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

-- BERNAMA