KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Kementerian Kewangan (MOF) mendapat arahan 'pihak atasan' untuk hanya memproses permohonan yang disyorkan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi projek di bawah Program Jana Wibawa.
Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, 54, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan di kementerian berkenaan berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Zamzuri Abdul Aziz yang merupakan ketua beliau pada ketika itu.
"Sebagai penjawat awam, minit (catatan) tertera ataupun minit yang diletakkan dalam satu dokumen itu adalah satu tindakan. Berdasarkan kepada minit tersebut, tindakan telahpun diambil oleh Pejabat Menteri Kewangan dan diberi arahan kepada Bahagian Perolehan melalui Datuk Zamzuri dan juga kepada saya.
"Hierarkinya, datangnya daripada pejabat PMO kepada Pejabat Menteri Kewangan. Pejabat Menteri Kewangan memberi arahan kepada SU (Setiausaha) Bahagian Perolehan untuk melaksanakan tindakan sepertimana telah diminitkan dan itu adalah punca kuasa untuk saya melaksanakan proses tersebut," katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.
Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Kepada soalan Noralis mengenai arahan itu tidak akan datang secara tiba-tiba dan Rosni menjawab, Ya, betul.
Berhubung surat dikemukakan oleh PMO kepada Kementerian Kewangan membabitkan KCJ Engineering Sdn Bhd, Rosni berkata pihaknya telah mendapat maklumat mengenai prestasi syarikat berkenaan supaya penilaian semula dilakukan kepada KCJ Engineering.
Sebelum ini, Rosni dalam pernyataan saksinya berkata syarikat KCJ Engineering telah lulus penilaian pada peringkat pertama (syarat mandatori) dan kedua (keupayaan kewangan), namun gagal pada penilaian peringkat ketiga (keupayaan teknikal).
Beliau berkata KCJ Engineering yang memohon bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan pernah gagal dalam penilaian kontraktor kerana mempunyai projek sakit serta prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.
Saksi itu mengesahkan dalam Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bertarikh 26 Feb 2021, mendapati syarikat tersebut telah lulus kriteria penilaian dan mengesyorkan KCJ Engineering secara rundingan terus kepada Menteri Kewangan.
Rosni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bagi program Jana Wibawa berkata sekiranya tidak mendapat arahan, beliau tidak akan melaksanakan arahan tersebut.
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin mengenai terdapat dokumen berkaitan arahan tersebut terhadap saksi itu supaya projek diberikan secara rundingan terus dan Rosni menjawab, 'Ada arahan. Saya melaksanakan penilaian ini berdasarkan kepada arahan'.
Amer Hamzah: Jadi awak tidak menerima arahan terus dari Tan Sri (Muhyiddin Yassin)? Rosni: Tiada. Takkan saya dapat arahan terus dari PMO.
Amer Hamzah: Jadi, tiada dokumen menunjukkan bahawa Tan Sri kata syarikat ini mesti diberikan (projek) secara rundungan terus, setuju?.
Rosni: Ada arahan yang mengatakan setuju dibuat penilaian, surat itu ada. Saya dapat arahan, Yang Arif, kalau saya tak dapat arahan macam mana saya nak buat penilaian. Arahan pun mestilah secara bertulis.
Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa walaupun terdapat cadangan daripada PMO atau Perdana Menteri, beliau tetap tidak akan membuat penilaian sekiranya tiada arahan daripada pegawai atasannya.
Amer Hamzah: Itu tidak bermakna terdapat arahan daripada Perdana Menteri supaya syarikat ini diberikan secara rundingan terus dan Rosni menjawab, arahan dari Pejabat Perdana Menteri.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 26 Ogos ini.
-- BERNAMA