Am 21/08/2026 04:21 PM

IPU Di Sembilan Kawasan Sarawak Tidak Sihat, Serian Sangat Tidak Sihat - JAS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IPU Di Sembilan Kawasan Sarawak Tidak Sihat, Serian Sangat Tidak Sihat - JAS

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian, Sarawak mencecah 227, iaitu berada pada tahap sangat tidak sihat sehingga 2 petang ini dengan sembilan kawasan lain di negeri itu merekodkan bacaan tidak sihat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan hari ini berkata Sri Aman merekodkan bacaan IPU kedua tertinggi, iaitu 187 diikuti Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu dan Samalaju (154) serta Kapit dan Mukah (130).

Beliau berkata kualiti udara dalam negara hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Sarawak berikutan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 20 Ogos, sebanyak 288 titik panas dikesan di Kalimantan, 53 di Sumatera dan dua di Malaysia masing-masing satu di Sarawak dan Terengganu.

Menurut Azuri Azizah, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC hari ini menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau selatan ASEAN, kecuali bahagian timur laut Borneo dan utara Sumatera yang mengalami hujan.

“Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan manakala beberapa titik panas secara terpencil dikesan di kawasan lain di rantau selatan ASEAN.

“Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.

-- BERNAMA