KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Firma penyelidikan menyambut baik pengembangan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) daripada 30 kepada 50 konstituen dan percaya langkah itu akan menyediakan perwakilan pasaran yang lebih luas dan kepelbagaian sektor yang lebih besar.
Menerusi nota penyelidikan mereka hari ini, CIMB Securities Sdn Bhd, Apex Securities Bhd dan Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengetengahkan manfaat petunjuk pasaran yang diperluas, termasuk perwakilan pasaran yang lebih baik dan kepelbagaian sektor yang lebih besar.
Pengembangan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan 20 konstituen baharu diperkenalkan pada 50 peratus daripada wajaran indeks akhirnya pada 21 Disember 2026, sebelum mencapai wajaran penuh pada 21 Jun 2027.
CIMB Securities yakin dengan pengembangan itu kerana ia bakal menyediakan penanda aras yang lebih mencerminkan keseluruhan prestasi untuk pasaran ekuiti Malaysia, mengurangkan penumpuan dalam sektor permodalan besar sedia ada dan meningkatkan perwakilan merentasi pelbagai industri yang lebih luas.
"Berdasarkan simulasi kami menggunakan harga saham pada 20 Ogos 2026, pengembangan FBM KLCI kepada 50 konstituen akan mengurangkan wajaran perkhidmatan kewangan kepada sekitar 36.8 peratus daripada 42.8 peratus dan utiliti kepada 15.8 peratus daripada 18.8 peratus, sambil meningkatkan perwakilan dan wajaran merentasi hartanah, perindustrian, tenaga, pengguna dan teknologi.
"Bakal pelabur baharu dijangka mendapat manfaat daripada pembelian berkaitan indeks, peningkatan keterlihatan institusi dan potensi kecairan dagangan yang lebih tinggi," maklum firma penyelidikan itu.
CIMB Securities menganggarkan 20 konstituen tambahan baharu itu boleh menyumbang 15.6 peratus daripada KLCI yang sedang berkembang, mengurangkan gabungan wajaran 30 konstituen sedia ada kepada 84.4 peratus daripada 100 peratus pada masa ini.
Sementara itu, Apex Securities melihat pembaharuan itu sebagai positif dari segi struktur kerana KLCI ketika ini secara material lebih tertumpu berbanding pasaran yang lebih luas, dengan bank menyumbang 43.1 peratus daripada indeks berbanding 31.1 peratus dalam FBM EMAS, manakala utiliti menyumbang 16.4 peratus berbanding 12.2 peratus.
"Kami menjangkakan teknologi dan pembinaan akan menjadi antara penerima utama manfaat ini, sementara peningkatan kelebaran indeks ini juga akan meningkatkan keterlihatan syarikat permodalan besar terpilih selain penanda aras berkaitan bank,” maklum firma penyelidikan itu.
Menurut Apex Securities teknologi adalah contoh paling jelas: sektor ini mempunyai 53 konstituen Pasaran Utama dan permodalan pasaran RM103.35 bilion setakat akhir Julai, namun menyumbang sifar peratus daripada wajaran KLCI ketika ini.
Begitu juga, pembinaan mempunyai 52 konstituen dan permodalan pasaran RM62.86 bilion, tetapi hanya menyumbang 3.5 peratus daripada keseluruhan wajaran KLCI.
Sementara itu, HLIB berkata pengembangan konstituen KLCI daripada 30 kepada 50 akan meningkatkan permodalan pasaran indeks utama kepada RM1.48 trilion daripada RM1.24 trilion dan mengembangkan bahagiannya daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia kepada 70.9 peratus daripada 59.4 peratus.
Menurut firma penyelidikan itu, pengembangan konstituen KLCI itu juga akan menyaksikan lebih banyak perwakilan sektor, dengan penampilan automotif, perjudian, amanah pelaburan hartanah (REIT), pelabuhan dan teknologi.
"Antara sektor baharu yang bakal menyertai pengembangan konstituen KLCI itu, kami melihat teknologi sebagai yang paling banyak menerima manfaat, mencapai wajaran 1.9 peratus dalam Fasa 1 dan 3.4 peratus dalam Fasa 2, berbanding sifar pada masa ini.
“Bagi sektor yang sedia ada dalam KLCI, pembinaan merupakan penerima manfaat terbesar, dengan wajarannya meningkat sebanyak 82 mata asas kepada 151 mata asas, berdasarkan pengiraan kami,” maklum firma penyelidikan itu.
-- BERNAMA