SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Gandingan saat akhir penerjun Sarawak Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin-Elvis Priestley Clement membuahkan hasil apabila menghadiahkan emas acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini.
Lebih menarik, Awang Sharzan-Elvis yang berada di kedudukan kedua selepas lima pusingan melakukan terjunan terbaik pada percubaan terakhir untuk memintas pemenang emas Sukan SEA dari Wilayah Persekutuan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie, di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
Gandingan Sarawak itu mengumpul 333.90 mata untuk mengetepikan Nurqayyum-Rui Jie yang meraih 331.11 mata, manakala pasangan Selangor Ikmal Abror Ibrahim-Muhammad Haris Mohd Rezal berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat 307.89 mata.
Awang Sharzan-Elvis membentuk gandingan pada saat akhir selepas pasangan asal Elvis, Jared Aiden Harold terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Elvis, 19, berkata beliau dan Awang Sharzan hanya sempat menjalani satu sesi latihan bersama pada Selasa lepas, sebelum turun beraksi dan mencipta kejutan meraih emas hari ini.
"Prestasi hari ini sungguh memuaskan untuk saya dengan Awang, kerana kami baru sekali berlatih untuk SUKMA tahun ini. Ini mungkin rezeki kami dan amat bersyukur sebab peluang datang tepat pada masanya," katanya kepada pemberita.
Kejayaan hari ini merupakan emas kedua Elvis selepas memenangi acara 10 m platform seirama lelaki bersama Jared semalam, selain meraih gangsa dalam acara 3 m papan anjal lelaki.
Meskipun ketinggalan menjelang pusingan terakhir, Elvis berkata mereka kekal fokus terhadap terjunan terakhir tanpa memikirkan kedudukan ketika itu.
“Kita cuma bernasib baiklah sebab seorang daripada penerjun Wilayah Persekutuan (Rui Jie) cedera sedikit. Jadi kami juga tidak perlu riak,” katanya.
Sementara itu, Awang Sharzan berkata gandingan mereka bukan sesuatu yang asing kerana kedua-duanya pernah beraksi bersama dalam acara seirama ketika masih kecil sebelum membawa haluan masing-masing selepas menyertai skuad kebangsaan.
"Ia bukan kali pertama sebab dulu memang pernah bersama sewaktu kecil ketika berumur 10 tahun namun sejak masuk skuad kebangsaan kami terpisah,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung pada 15 Ogos hingga 24 Ogos.
-- BERNAMA