Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Penerapan nilai seni lukis pada pakaian ibadah bukan sahaja memberi kelainan kepada rekaan harian, tetapi turut menjadi langkah penting dalam memastikan seni warisan negara terus hidup dan dihargai.
Melalui kolaborasi dengan jenama telekung Siti Khadijah, pengkarya seni tempatan Farah Mohan yang sebelum ini sinonim dengan karya batik kontemporari mengambil langkah berani menterjemahkan karya seni lukis dan batik ke atas busana solat dalam koleksi Embun Fajar.
Menurut Farah, percubaan julung kali menghasilkan rekaan untuk busana solat memberi dimensi serta kepuasan berbeza berbanding karya seni yang pernah dihasilkannya sebelum ini seperti arca, lampu hiasan dan lukisan kanvas.
"Sebelum ini peminat seni sering bertanya bilakah saya akan hasilkan rekaan yang boleh dipakai seperti selendang atau baju. Apabila karya seni itu dipakai dan dibawa dalam kehidupan seharian, khususnya ketika beribadah, karya itu memberikan makna yang lebih mendalam berbanding sekadar digantung pada dinding.
"Oleh sebab itu saya lihat kolaborasi ini sebagai satu platform dan tapak permulaan yang baik untuk saya mula berkarya dalam bidang fesyen," katanya kepada Bernama.
Mengulas cetusan idea rekaan, pengkarya berusia 34 tahun itu berkongsi bahawa konsep tersebut lahir daripada pengalaman peribadinya ketika mencari ketenangan pada awal pagi.
"Idea ini datang sewaktu saya sedang buntu mencari idea segar. Pada satu pagi sewaktu bangun menunggu waktu fajar dan bersedia untuk kejutkan anak serta sambung kerja, saya rasakan itu sahaja waktu yang betul-betul tenang untuk saya.
"Dari situ timbul konsep fajar, dan apa yang sesuai dengan fajar adalah kelembutan embun pagi. Rekaan ini turut menggabungkan motif bunga mawar dan lili yang membawa simbolik kontra iaitu kelembutan serta kekuatan," jelasnya.
Menurut anak jati Kedah ini, proses menterjemahkan seni visual ke atas fabrik solat itu menuntut ketelitian tinggi dan mengambil masa sekitar satu hingga dua bulan untuk disiapkan, terutamanya dari segi cabaran teknikal di bahagian produksi.
"Jenama ini mahukan kelainan dengan menggunakan lima panel fabrik yang perlu dicantumkan. Cabaran utamanya adalah memastikan batang dan corak bunga pada setiap cantuman itu selari dan warnanya sama," jelasnya.
Sementara itu, pengasas jenama telekung tersebut Padzilah Enda Sulaiman berkata usaha menterjemahkan seni batik canting ke atas telekung adalah untuk mengangkat semula nilai tekstil tradisional tempatan agar tidak hilang ditelan zaman.
"Batik ini kita kena sentiasa angkat jika tidak mahu hanya menjadi sejarah, sedangkan nilai seninya sangat tinggi.
"Kerjasama dengan Farah Mohan ini terjalin sebab kita ada nilai seni yang sama. Apabila dipakai waktu bersolat, motif batik canting membawa satu rasa kepuasan dan ketenangan yang berbeza buat si pemakai," katanya.
Koleksi tersebut turut menampilkan busana wanita, busana lelaki, tudung dan sejadah, selain telekung batik canting yang hanya sebanyak 100 helai.
-- BERNAMA