Am 21/08/2026 01:41 PM

Jerebu: NRES Bawa Sambutan HKHM 2026 Ke Jemaah Menteri Jika Keadaan Membimbangkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: NRES Bawa Sambutan HKHM 2026 Ke Jemaah Menteri Jika Keadaan Membimbangkan
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bercakap kepada media selepas hadir pada Program Banding Trail Adventure 2026 di Resort Royal Belum hari ini.

GERIK, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membawa perkara berkaitan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 ke perhatian Jemaah Menteri sekiranya keadaan jerebu di negara ini semakin membimbangkan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu bagi membolehkan keputusan sewajarnya dibuat dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan orang ramai, memandangkan kedua-dua sambutan berkenaan melibatkan banyak pergerakan serta aktiviti luar.

Beliau berkata buat masa ini masih terlalu awal untuk menentukan keadaan cuaca ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kerana ramalan lebih tepat hanya dapat diberikan empat atau lima hari sebelum tarikh berkenaan.

“Maka kita akan sentiasa memantau tetapi sekiranya keadaan ini merisaukan, saya akan bawa perkara ini kepada perhatian Jemaah Menteri untuk kita buat keputusan kemudian. Pada asasnya keutamaan adalah sentiasa untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengiktirafan ASEAN dan “Asia Records Banding Trail Adventure 2026” (BTA2026) di Pulau Banding di sini hari ini.

Arthur berkata pendekatan sama akan diambil bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept, namun berharap keadaan cuaca berada pada tahap baik bagi membolehkan kedua-dua sambutan itu berlangsung seperti dirancang.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan laporan awal hari ini daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara, tiga mencatatkan kualiti udara baik, 56 sederhana, lapan tidak sihat dan satu sangat tidak sihat dengan kebanyakannya melibatkan kawasan di selatan Sarawak.

“Setakat ini kebanyakan hotspot adalah di kawasan Kalimantan dan Sumatera, bagi kawasan kita di Malaysia saya hanya boleh komen bahawa kebanyakan kawasan yang terkesan adalah di selatan Sarawak sebab ia berdekatan dengan Kalimantan.

“Jadi, kita akan terus memantau keadaan ini dan untuk terus memberi nasihat kepada orang ramai sekiranya keadaan menjadi lebih merisaukan, kita akan keluarkan serta melaksanakan beberapa tindakan yang diperlukan nanti,” katanya. 

Beliau berkata di Sarawak lapan stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu di Sri Aman, Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju dan Kapit, manakala satu stesen merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian.

Arthur berkata NRES bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meningkatkan operasi pemantauan susulan keadaan cuaca lebih kering serta peningkatan titik panas, selain meningkatkan usaha bersepadu, khususnya bersama-sama negara ASEAN.

“Baru-baru ini ketika mesyuarat ASEAN berkaitan dengan isu jerebu rentas sempadan saya telah bertemu dengan rakan sejawat di Indonesia dan kita telah bekerjasama, bersetuju untuk meningkatkan usaha (menangani isu itu). 

“Kita bekerjasama yang pertama untuk memantau kawasan hotspot dan berkongsi ruang udara sekiranya kita perlu melaksanakan operasi pembenihan awan,” katanya. 

– BERNAMA