KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat pelaburan yang telah didakwa atas pertuduhan pecah amanah, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima wang berjumlah RM13.4 juta hasil aktiviti haram.
Datuk Norliza Tajudin, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Wanita itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM13.4 juta menerusi cek dan pindahan dalam talian daripada akaun bank milik syarikat Energy Eco Bhd.
Wang itu didakwa dipindahkan ke akaun bank peribadinya serta akaun milik syarikat Aura Emas Trading Sdn Bhd dengan Norliza ialah pengarah syarikat tersebut.
Kesalahan didakwa dilakukan di tiga cawangan bank di Taman Setiawangsa, Wangsa Melawati dan Bangsar di sini antara 1 Feb 2021 hingga 2 Feb 2024.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil semasa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan yang ditetapkan dalam kes pecah amanah dihadapi Norliza sebelum ini.
“Pihak pendakwaan turut memohon supaya kes dibicarakan bersama dengan kes sebelum ini (pecah amanah) di mahkamah ini,” katanya.
Peguam Datuk Gobinath Mohanna yang mewakili Norliza tidak membantah permohonan tersebut.
Suzana membenarkan permohonan untuk dua kes itu dibicarakan secara bersama.
“Atas persetujuan pihak-pihak, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya jaminan terdahulu serta syarat tambahan diguna pakai dalam kes ini,” katanya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Okt.
Pada 11 Mei, Norliza bersama-sama bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM10.55 juta.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
-- BERNAMA