Am 19/08/2026 02:42 PM

UTHM-KTMB Perkukuh Kerjasama Strategik Teknologi Rel Bersempena Dengan Pelancaran Rel Merdeka 69

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UTHM-KTMB Perkukuh Kerjasama Strategik Teknologi Rel Bersempena Dengan Pelancaran Rel Merdeka 69
Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali (dua, kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Megat Khairulazhar Khairodin (dua, kanan) pada Program Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan KTMB yang diadakan dalam koc kereta api yang sedang bergerak menuju ke Stesen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi rel menerusi pembelajaran berasaskan kerja (WBL), penyelidikan bersama, pembangunan kompetensi serta perkongsian kepakaran industri.

Naib Canselor UTHM Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata kerjasama itu bermula Oktober 2026 hingga Julai 2029, dan kesinambungan perjanjian terdahulu yang dimeterai pada 2019, sekali gus memperkukuh hubungan akademia-industri dalam pembangunan bakat sektor rel negara.

Beliau berkata kerjasama itu turut memberikan peluang kepada pelajar UTHM untuk mendapat pendedahan secara langsung terhadap operasi, teknologi dan cabaran sebenar industri rel menerusi pelaksanaan WBL.

“Melalui WBL ini, pelbagai kerjasama dapat dilakukan oleh UTHM dan KTMB yang memberikan manfaat kepada pelajar universiti seperti penyelidikan, perkongsian kepakaran serta peluang memahami operasi, teknologi dan cabaran sebenar dalam industri rel.

“Kerjasama strategik ini juga selari dengan aspirasi UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030 (GTU2030), yang menekankan pengintegrasian ilmu, teknologi, inovasi dan keusahawanan dalam pembangunan bakat serta penyelesaian kepada keperluan industri serta masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas pertukaran dokumen kerjasama itu.

Pada majlis pertukaran dokumen berkenaan UTHM diwakili oleh Mas Fawzi, manakala Ketua Pegawai Korporat Megat Khairulazhar Khairodin mewakili KTMB. 

Lebih unik, pertukaran dokumen itu berlangsung di dalam Tren Sewa Khas KTMB yang sedang bergerak dari Stesen Kluang ke KL Sentral bersempena dengan Majlis Peluncuran Rel Merdeka 69 dan Sambutan Bulan Kebangsaan ke-69 Peringkat UTHM.

Mas Fawzi berkata kerjasama terdahulu memberikan manfaat, khususnya kepada pelajar Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel dengan Kepujian, menyaksikan hampir 200 graduan memenuhi keperluan industri, termasuk beberapa yang kini bekerja di luar negara seperti Singapura dan Arab Saudi.

Beliau berkata menerusi pendedahan secara langsung kepada persekitaran operasi KTMB, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik, meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional serta memahami keperluan sebenar industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Selain itu, UTHM dan KTMB akan meneroka pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang teknologi rel, yang menggabungkan kepakaran akademik serta kemudahan penyelidikan UTHM dengan pengalaman operasi dan data industri KTMB.

Beliau berkata sinergi berkenaan berpotensi menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal terhadap cabaran teknikal berkaitan tren dan infrastruktur rel.

Sementara itu, Megat Khairulazhar berkata kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada KTMB untuk memanfaatkan kepakaran akademik, teknologi serta kemudahan penyelidikan UTHM dalam menyokong penyelesaian isu operasi dan teknikal industri rel.

“Kerjasama ini turut merangkumi perundingan akademik bagi program diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang teknologi kejuruteraan pengangkutan rel di Akademi KTM (MyRA), selain perkongsian ilmu melalui forum industri, lawatan akademik dan aktiviti pembangunan kompetensi.

“KTMB juga telah berjaya menghantar lima petugas untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang rel di UTHM,” katanya.

Dalam aspek pembangunan modal insan, kedua-dua pihak turut bekerjasama meningkatkan kelayakan dan kompetensi petugas melalui peluang melanjutkan pengajian, program latihan serta pemindahan ilmu dan kepakaran.

Pendekatan itu bukan sahaja dijangka memperkukuh profesionalisme warga industri, malah membolehkan UTHM memperoleh input industri secara langsung bagi memperkaya pengajaran, penyelidikan serta pembangunan program akademik. 

-- BERNAMA