Am 19/08/2026 03:38 PM

USM Bangunkan Prototaip Produk Diagnostik Tempatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
USM Bangunkan Prototaip Produk Diagnostik Tempatan
Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Aziah Ismail

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) sedang membangunkan beberapa prototaip hasil penyelidikan universiti itu bagi menghasilkan produk diagnostik tempatan yang mampu mengesan penyakit lebih awal dan tepat.

Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata produk dan prototaip berkenaan sedang melalui proses penilaian dan pembangunan sebelum berpotensi untuk dikomersialkan, termasuk menerusi penubuhan sebuah syarikat spin-off.

Beliau berkata sebelum ini beberapa teknologi yang dihasilkan penyelidik INFORMM telah dikomersialkan melalui kaedah pelesenan teknologi kepada syarikat, manakala usaha terkini lebih menjurus kepada penubuhan syarikat spin-off bagi menguruskan produk baharu yang sedang dibangunkan.

“Pada masa ini kita mempunyai beberapa produk atau prototaip dalam perancangan yang dibangunkan oleh pensyarah dan penyelidik, jadi kita bercadang memulakan dengan satu produk flagship sebelum diteruskan dengan produk lain yang berada dalam perancangan tersebut.

“Produk baharu itu kini berada pada peringkat proof of concept dan seterusnya akan melalui proses penilaian sebelum bergerak kepada pensijilan ISO 13485 dan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Molecular Diagnostics and Biomarker Discovery (MDBD) Ke-8 di sini hari ini.

Persidangan dua hari hingga esok anjuran INFORMM USM dengan kerjasama penaja tunggalnya Thermo Fisher Scientific itu menghimpunkan kira-kira 150 saintis, pengamal kesihatan, penyelidik, pembuat dasar dan wakil industri dari dalam serta luar negara.

Mengangkat tema Redefining Healthcare: Multi-Omics Driven Diagnostics and Therapeutics, MDBD 2026 memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi baharu untuk meningkatkan ketepatan diagnosis, rawatan bersasar dan penjagaan kesihatan diperibadikan.

Aziah berkata antara cabaran utama untuk membawa produk diagnostik berasaskan penyelidikan ke pasaran ialah tempoh masa diperlukan bagi memenuhi keperluan kawal selia kerana produk berkenaan dikategorikan sebagai in vitro diagnostics (IVD), iaitu satu daripada kategori peranti perubatan.

Beliau berkata produk IVD perlu melalui penyediaan dokumentasi, proses persediaan dan audit bagi mendapatkan pensijilan ISO 13485 sebelum boleh dikemukakan kepada MDA untuk proses seterusnya.

“Produk lain kalau mahu dikomersialkan, ia mungkin tidak memerlukan proses regulatori yang panjang berbanding produk diagnostik atau IVD yang perlu melalui ISO 13485 dan MDA sebelum boleh digunakan. Jadi kekangan utama adalah dari segi masa kerana proses dokumentasi, persediaan, audit dan pensijilan itu memang diperlukan,” katanya.

Aziah berkata pembangunan produk diagnostik INFORMM bermula daripada penemuan biomarker, pembangunan platform diagnostik, proses validasi dan penilaian sebelum bergerak ke arah komersial dengan pendekatan tersebut  turut menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bioinformatik.

“Gabungan biomarker discovery dengan AI dan bioinformatik itu akan membantu kita mendapatkan biomarker yang lebih sesuai untuk diteruskan kepada platform diagnostik daripada biomarker discovery kita membangunkan diagnostik kemudian melalui proses validasi dan penilaian sebelum menuju kepada komersialisasi,” katanya.

Mengenai MDBD Ke-8,  Aziah berkata ia turut disertai peserta antarabangsa termasuk penyelidik dari Pakistan dan Oman, sekali gus menyediakan platform untuk perkongsian ilmu, pembentukan jaringan kerjasama serta penerokaan kolaborasi baharu dalam bidang diagnostik molekul dan penemuan biomarker.

“Persidangan ini menjadi platform untuk menekankan kepentingan pendekatan multidisiplin dan transdisiplin dengan menggabungkan kepakaran ahli biologi, kimia, jurutera serta pakar AI dan bidang berkaitan. Penggabungan kepakaran penting bagi mempercepatkan pembangunan produk diagnostik dan memendekkan tempoh daripada penemuan di makmal kepada produk yang boleh dimanfaatkan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA