Am 19/08/2026 09:43 PM

Tindakan Pantas Penduduk Selamatkan 162 Rumah Atas Air Daripada Musnah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tindakan Pantas Penduduk Selamatkan 162 Rumah Atas Air Daripada Musnah
Sebahagian daripada 28 rumah atas air yang musnah dalam kebakaran di Pulau Nunuyan ketika tinjauan hari ini. Kebakaran yang berlaku kira-kira 3 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah rumah yang memasang lilin sebelum ditinggalkan. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SANDAKAN, 19 Ogos (Bernama) -- Tindakan pantas penduduk Kampung Nunuyan Laut, dekat sini dengan membuat fire break membantu menyelamatkan 162 buah rumah di perkampungan atas air itu daripada musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Kampung Mohd Sutri Mohd Nurdin berkata inisiatif pencegahan awal itu dilakukan dengan menggunakan pam air yang dipinjamkannya kepada penduduk tempatan bagi menyiram rumah yang belum terbakar dalam kejadian di Pulau Nunuyan Laut itu.

"Tanpa fikir panjang saya bagi pinjam pam air kepada penduduk untuk membantu memadam api memandangkan angin kuat menyebabkan api cepat merebak dari satu rumah ke rumah lain.

"Kami cuba buat fire break dengan membasahkan rumah yang belum terbakar, lalu banyak rumah lain dapat diselamatkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Meskipun usaha komuniti itu berjaya menghalang api daripada merebak, insiden sekitar pukul 3 pagi itu tetap memusnahkan 28 buah rumah jenis tidak kekal di pulau berkenaan.

Kejadian berkenaan menyebabkan sebanyak 109 penduduk daripada 29 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al Fattah di kampung berkenaan setakat 8 malam ini.

Seorang mangsa, Kaslan Etin, 38, berkata beliau sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumahnya sudah 30 peratus terbakar sebaik menyedari kejadian itu.

"Saya sekeluarga terbangun apabila mendengar orang berteriak api dan kami terus menyelamatkan dua anak kecil serta dokumen diri sahaja," katanya.

Beliau berkata kebakaran itu turut memusnahkan barangan persiapan majlis perkahwinan adik iparnya yang dijadualkan berlangsung pada cuti sekolah Disember ini.

Seorang lagi mangsa warga emas, Kasmah Rashid, 69, terselamat selepas jirannya bertindak pantas mengetuk pintu serta mengangkatnya keluar dari rumah memandangkan beliau tinggal bersendirian.

“Terima kasih kepada semua penduduk kampung dan pasukan keselamatan yang membantu, jika tidak, memang tidak tahulah apa yang terjadi kepada saya,” katanya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Sibuga Datuk Amirshah Yaakub berkata bantuan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah disalurkan bagi memastikan kebajikan semua mangsa terjamin.

"JKM telah mengenal pasti bantuan lanjut manakala Majlis Perbandaran Sandakan membuka pusat pemindahan sementara untuk menempatkan mangsa kebakaran," katanya.

Pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA