Am 20/08/2026 12:04 AM

Polis Mohon Bantuan Kenal Pasti Mayat Wanita Dalam Beg Pakaian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Mohon Bantuan Kenal Pasti Mayat Wanita Dalam Beg Pakaian
Kredit: Polis Kuala Kangsar

IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata usaha mengenal pasti mangsa turut dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, namun carian cap ibu jari tidak menemukan rekod sepadan.

Beliau berkata pemeriksaan pergigian mendapati wanita berkenaan berusia lingkungan 30-an, manakala pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berketinggian 154 sentimeter, berat kira-kira 48 kilogram, berkulit sawo matang dan berambut hitam paras bahu.

“Ketika ditemui, wanita berkenaan memakai baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, berseluar jean hitam serta memakai anting-anting. 

“Ciri-ciri fizikal dan pakaian ini diharap dapat membantu orang ramai mengenal pasti mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Polis turut mengesahkan mangsa bukan warga tempatan berdasarkan tiada kesan suntikan BCG selain semakan cap ibu jari yang tidak mempunyai rekod sepadan dengan pangkalan data JPN.

Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Taiping dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu lepas, polis mengesahkan mayat yang ditemukan dalam beg pakaian di lokasi berkenaan adalah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan pada 3.12 petang yang memaklumkan mengenai penemuan mayat di sungai berkenaan.

-- BERNAMA